Memaparkan catatan dengan label DIA - Allah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label DIA - Allah. Papar semua catatan

01 September 2010

Al-kisah...Golongan yang dicinta & dibenci!

Allah SWT cinta kepada tiga golongan dan tiga golongan dari mereka lebih dicintai iaitu;

  • Allah SWT kasih kepada orang yang bertaqwa dan kepada pemuda yang taqwa lebih dikasihi.
  • Allah SWT kasih kepada orang miskin, tetapi orang miskin yang memiliki budi pekerti mulia lebih dicintai.
  • Allah SWT kasih kepada orang yang tawadhuk (merendahkan diri) dan kepada orang kaya yang tawadhuk lebih dikasihi.

Justify Full

Rasulullah SAW juga bersabda; ”Sesungguhnya Allah SWT membenci tiga golongan tetapi benciNya kepada tiga golongan dari mereka lebih berat iaitu;

  • Allah SWT membenci orang fasiq tetapi lebih dibenci adalah orang tua yang fasiq.
  • Allah SWT membenci orang yang kikir (kedekut) tetapi lebih dibenci adalah orang kaya yang kikir atau kedekut.
  • Allah SWT membenci orang yang sombong tetapi lebih dibenci adalah orang miskin yang sombong.

30 Ogos 2010

Al-kisah...Kalau Allah maujud (wujud), di manakah tempatnya?!


SOALAN: Sekiranya ada seseorang bukan muslim bertanyakan saya di manakah Allah, apakah jawapan yang sesuai yang saya harus berikan kepada beliau?

JAWAPAN;

Ustaz nukilkan di sini dialog Imam Abu Hanifah dengan seorang ateis (orang yg tidak mengakui atau mempercayai kewujudan Tuhan) bernama Dahri untuk bacaan, sekali gus hujah-hujah logik yang digunakan oleh Imam Abu Hanifah boleh membantu dalam menjelaskan persoalan di manakah Allah?

Pada suatu ketika, kota Baghdad didatangi oleh seorang pendakyah Yahudi bernama Dahri. Kedatangannya mencetuskan kegemparan di kalangan umat Islam.

Dahri cuba merosakkan pegangan umat Islam dengan membahaskan soal-soal yang berhubung kait dengan ketuhanan. Dicabarnya para ulama Baghdad untuk berdebat dengannya. Setiap kali cabarannya disahut, hujah-hujah Dahri tidak pernah dapat dipatahkan sehingga akhirnya tidak ada lagi ulama Baghdad dan ulama-ulama di sekitarnya yang sanggup berhadapan dengannya.

Akhirnya wakil Khalifah menemui Imam Hammad bin Abi Sulaiman Al-Asy’ari, seorang ulama yang tidak kurang hebat ketokohannya serta kredibilitinya.

Khalifah memerintahkan perdebatan antara Imam Hammad dan Dahri disegerakan. Dan ia mesti dibuat di Masjid Jamek di tengah-tengah kota Baghdad. Sehari sebelum itu, Masjid Jamek telah penuh sesak dengan orang ramai.

“Maha suci Allah, maha suci Allah, maha suci Allah, sesungguhnya aku tiada daya usaha melainkan melainkan Allah lah pelindungku Tuhan yang maha tinggi lagi Maha Agung”. Lidah Imam Hammad terus melafazkan kalimat menyucikan segala tohmahan yang tidak layak bagi zat yang Maha Agung. Dia beristighfar terus.

Keesokannya, pagi-pagi lagi muncul Abu Hanifah, murid Imam Hammad yang paling rapat dan yang paling disayanginya. Namanya yang sebenar ialah Nu’man, yang ketika itu usianya masih remaja. Bila ternampak keadaan gurunya yang gundah gulana itu, Abu Hanifah pun bertanya untuk mendapat kepastian. Lalu Imam Hammad menceritakan keadaan yang sebenar.

Membantu guru

Beliau juga memohon izin membantu gurunya berdepan dengan si Dahri. Maka berangkatlah ilmuwan belasan tahun itu bersama gurunya ke Masjid Jamek di mana majlis dialog akan diadakan yang dihadiri oleh orang ramai dan Khalifah. Seperti biasanya, sebelum menyampaikan dakyahnya, Dahri mencabar dan memperlekeh-lekehkan ulama dengan bersuara lantang dari atas pentas.

“Hai Dahri, apalah yang digusarkan. Orang yang mengetahuinya pasti menjawabnya!” Tiba-tiba suara Abu Hanifah memeranjatkan Dahri dan menyentakkan kaum Muslimin yang hadir. Dahri sendiri terkejut. Matanya memandang tajam mata Abu Hanifah yang masih muda.

“Siapa kamu hai anak muda? Berani sungguh menyahut cabaranku...Sedangkan ulama yang hebat-hebat, yang berserban dan berjubah labuh telah ku kalahkan...!” Lantang suara Dahri membidas Abu Hanifah.

“Wahai Dahri,” balas Abu Hanifah, “Sesungguhnya Allah tidak mengurniakan kemuliaan dan kebesaran itu pada serban atau jubah yang labuh. Tetapi Allah mengurniakan kemuliaan kepada orang-orang yang berilmu dan bertakwa”.

Abu Hanifah lalu membacakan firman Allah SWT yang bermaksud; Allah telah meninggikan darjat orang beriman dan berimu antara kamu beberapa darjat (Al-Mujadalah: 11)

Geram rasanya hati Dahri mendengarnya kepetahan lidah pemuda ini berhujah. Maka berlangsunglah majlis dialog.

“Benarkah Allah itu wujud?,” soal Dahri memulakan majlis dialognya.

“Bahkan Allah memang wujud,” tegas Abu Hanifah.

“Kalau Allah maujud (wujud), di manakah tempatnya..?” suara Dahri semakin meninggi.

“Allah tetap wujud tetapi dia tidak bertempat!” jelas Abu Hanifah.

“Hairan, kau kata Allah itu wujud, tetapi tidak bertempat pula...?” bantah Dahri sambil tersenyum sinis kepada hadirin.

“Ah, itu senang sahaja wahai Dahri. Cuba kau lihat pada dirimu sendiri. Bukankah pada dirimu itu ada nyawa...,” Abu Hanifah berhujah.

“Bahkan, memang aku ada nyawa, dan memang setiap makhluk yang bernafas itu ada nyawa...!,” sahut Dahri.

“Tetapi adakah kau tahu di manakah letaknya nyawa atau rohmu itu...? Dikepalakah, diperutkah atau adakah dihujung tapak kakimu..?” Tersentak Dahri seketika.

Setelah itu Abu Hanifah mengambil segelas susu lalu lalu berkata: “Adakah dalam air susu ini ada terkandung lemak...?”

Pantas Dahri menjawab, “Ya, bahkan!”

Abu Hanifah bertanya lagi, “Kalau begitu di manakah lemak itu berada...? Di bahagian atasnya atau di bawahkah...?” Sekali lagi Dahri tersentak, tidak mampu menjawab pertanyaan Abu Hanifah yang petah itu.

“Untuk mencari di manakah roh dalam jasad dan di manakah kandungan lemak dalam susu ini pun kita tidak upaya, masakan pula kita dapat menjangkau di manakah beradanya Zat Allah SWT di alam maya ini? Zat yang mencipta dan mentadbir seluruh alam ini termasuk roh dan akal dangkal kita ini, pun ciptaan-Nya, yang tunduk dan patuh di bawah urusan tadbir kerajaan-Nya Yang Maha Agung...!”

“Hai anak muda! Apakah yang wujud sebelum Allah. Dan apa pula yang muncul selepas Dia nanti...” soal Dahri lagi.

“Wahai Dahri! Tidak ada suatu pun yang wujud sebelum Allah SWT dan tidak ada sesuatu jua yang akan muncul selepas-Nya. Allah tetap Qadim dan Azali. Dialah yang Awal dan Dialah yang Akhir,” tegas Abu Hanifah, ringkas tapi padat.

“Pelik sungguh! Mana mungkin begitu....Tuhan wujud tanpa ada permulaannya? Dan mana mungkin Dia pula yang terakhir tanpa ada lagi yang selepas-Nya....?,” Dahri cuba berdalih dengan minda logiknya.

Dengan tersenyum Abu Hanifah menjelaskan, “Ya! Dalilnya ada pada diri kamu sendiri. Cuba kau lihat pada ibu jari mu itu. Jari apakah yang kau nampak berada sebelum jari ini..?” Sambil menuding ibu jarinya ke langit.

Tidak terfikir

Beberapa hadirin turut berbuat demikian. “Dan pada jari manis kau itu, ada lagikah jari yang selepasnya...” Dahri membelek-belek jarinya. Tidak terfikir dia persoalan yang sekecil itu yang diambil oleh Abu Hanifah.”

“Jadi...! Kalaulah pada jari kita yang kecil ini pun, tidak mampu kita fikir, apatah lagi Allah Zat Yang Maha Agung itu, yang tiada suatu pun yang mendahului-Nya dan tiada sesuatu yang kemudian selepas-Nya.”

Sekali lagi Dahri tercenggang. Bungkam. Namun masih tidak berputus asa untuk mematahkan hujah anak muda yang telah memalukannya di khalayak ramai. Khalifah memerhatikan sahaja gelagat Dahri dengan penuh tanda tanya. Dahri berfikir seketika, mencari jalan, mencari idea. Semacam suatu ilham baru telah menyuntik mindanya, iapun tersenyum lalu bertanya.

“Ini soalan yang terakhir buat mu, hai.. budak mentah!.” Sengaja Dahri mengeraskan suaranya agar rasa malunya itu terperosok, dan seolah-olah memperkecilkan kemampuan Abu Hanifah.

“Allah itu ada, kata mu. Ha! apakah pekerjaan Tuhanmu ketika ini?” Soalan tersebut membuat Abu Hanifah tersenyum riang.

“Ini soalan yang sungguh menarik. Jadi kenalah dijawab dari tempat yang tinggi supaya dapat didengar oleh semua orang,” katanya. Pemuda ideologi Ad-Dahriyyun yang sedari tadi mentalitinya dicabar terus, berjalan turun meninggalkan mimbar masjid Jamek, memberi tempat untuk Abu Hanifah:

“Wahai sekelian manusia. Ketahuilah bahawa kerja Allah ketika ini ialah menggugurkan yang batil sebagaimana Dahri yang berada di atas mimbar, diturunkan Allah ke bawah mimbar. Dan Allah juga telah menaikkan yang hak sebagaimana aku, yang berada di sana, telah dinaikkan ke atas mimbar Masjid Jamek ini... !”

Bagai halilintar, hujah Abu Hanifah menerjah ke dua-dua pipi Dahri. Seiring dengan itu bergemalah pekikan takbir dari orang ramai. Mereka memuji-muji kewibawaan Abu Hanifah yang berjaya menyelamatkan maruah Islam dari lidah Dahri yang sesat lagi menyesatkan itu.

Firman Allah SWT yang bermaksud; Dialah yang awal dan Dialah yang akhir, dan yang zahir dan yang batin, dan Dialah yang mengetahui akan tiap-tiap sesuatu (al-Hadid: 3) dalam ayat yang keempat daripada surah yang sama Allah berfirman yang bermaksud; … dan dia tetap bersama kamu di mana sahaja kamu berada.

Maksudnya Allah SWT sentiasa mengawasi manusia dengan ilmunya, memerhati, mendengar serta berkuasa ke atas mereka biar di mana sahaja mereka berada. Di dalam fahaman ahli sunnah adalah ditegah mengishbat tempat bagi Allah, dengan menentukan lokasi baginya.

Hanya makhluk sahaja yang memerlukan tempat, namun Allah SWT tidak sama dengan makhluk, dan tidak memerlukan apa yang diperlukan oleh makhluk.

Wallahualam.

26 Ogos 2010

Al-kisah...Fadhilat kita yang miskin di sisi Allah!

http://www.awda-dawa.com/image3/from-5-11-abraat.jpg

Orang kaya tidak akan mendapat 3 kelebihan yang akan diberikan oleh Allah SWT kepada para fakir miskin yang mukmin kepada Allah SWT, iaitu;

  • Di dalam syurga terdapat daripada yaqut merah, orang-orang syurga itu melihat tempat itu sama dengan orang dunia jika melihat bintang dilangit, tidak dapat masuk ke tempat tersebut kecuali Nabi yang fakir atau orang yang mati syahid yang fakir atau seorang mukmin yang fakir.
  • Orang fakir akan masuk syurga sebelum orang kaya sekadar setengah hari akhirat iaitu sekira lima ratus tahun, mereka bersuka-suka dengan bebas dan Nabi Sulaiman bin Daud a.s. akan masuk sesudah nabi-nabi yang lainnya sekira-kira empat puluh tahun disebabkan oleh kerajaan yang diberikan Allah SWT kepadanya.
  • Jika orang fakir membaca: Subhaballah walhamdulillah walaa ilaha illalah wallahu akbar dengan tulus ikhlas dan orang kaya membaca perkataan yang sama, maka orang kaya itu tidak dapat mengejar orang fakir meskipun ditambah dengan sedekah sepuluh ribu dirham. Demikian amal-amal kebaikan yang lain-lainnya, Allah SWT lebihkan fadhilat ke atas orang miskin.

20 Ogos 2010

Al-kisah...Sikap yang dibenci Allah!

SYEIKH Abdul Kadir Abdul Mutalib dalam buku tasauf Penawar Bagi Hati menjelaskan mengenai sepuluh celaan Allah kepada manusia akibat dari kelakuan dan tabiat manusia sendiri ketika menempuh kehidupan seharian.

10 celaan itu berdasarkan sepuluh sikap yang lazim dilakukan manusia iaitu:

1. Gelojoh ketika makan

Dalam erti kata lain, seseorang yang kuat dan tidak bersopan ketika makan. Sikap ini juga meliputi maksud makan terlalu kenyang, menyediakan makanan dalam jumlah yang berlebihan, yang akhirnya membawa kepada pembaziran.

2. Banyak bercakap

Allah mencela manusia yang suka bercakap perkara yang sia-sia, fitnah memfitnah, umpat keji dan kata mengata kerana semua jenis percakapan itu menjurus kepada permusuhan dan perbalahan sesama manusia.

3. Suka marah-marah

Kemarahan boleh membuat seseorang itu bertindak di luar batas kemanusiaan. Perbuatan marah akan diikuti dengan maki hamun, mengherdik dan perkelahian yang boleh mengakibatkan kecederaan atau pembunuhan.

4. Hasad dengki

Seseorang yang bersifat dengki sanggup melakukan apa saja dalam bentuk kejahatan atau jenayah. Perbuatan menipu dan sanggup memusnah hidup orang lain adalah antara sifat keji yang lahir dari perasaan hasad dengki. Rasulullah bersabda: 'Dengki itu memakan segala kebaikan' (Riwayat Muslim).

5. Kedekut

Rezeki yang Allah kurniakan lebih suka disimpan hingga bertimbun banyaknya. Sifat kedekut menghijab (menutup) seseorang dari membelanjakan sebahagian dari hartanya ke jalan kebaikan termasuk menderma, membuat kebajikan ke jalan Allah dan membantu orang yang memerlukan.

6. Bermegah-megah

Ia termasuk sikap suka status atau jawatan, gelaran dan menerima sanjungan.

7. Cintakan dunia

Terlalu menghambakan diri kepada perkara duniawi hingga melupakan tuntutan ukhrawi. Rasulullah bersabda: "Bekerjalah kamu di dunia seolah-olah kamu akan hidup seribu tahun, dan beramallah kamu untuk akhirat seolah-olah kamu akan mati esok hari."
(Riwayat Bukhari dan Muslim).

8. Ego atau sombong

Sifat membuat seseorang merasakan dirinya mempunyai kelebihan dalam banyak perkara dari orang lain hingga mereka lupa bahawa hanya Allah saja yang bersifat maha besar.

9. Ujub dan suka bangga diri

Perbuatan ini ada unsur megah dan sombong dengan kelebihan dan kepandaian yang dikurniakan Allah. Rasa bersyukur tidak ada lagi dalam diri kerana telah diselaputi perasaan ego.

10. Gemarkan pujian atau riak

Manusia jenis ini suka meminta dipuji dalam setiap perkara yang dilakukan. Sikap baiknya, jasa dan baktinya mahu dikenang sampai bila-bila. Ini jelas membayangkan bahawa sikap baiknya selama ini, tidak diiringi dengan kejujuran dan keikhlasan.

13 Ogos 2010

Al-kisah...3 malam Allah zahirkan kekuasaanNya!

http://photos-f.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-ash2/hs130.ash2/39829_1462679739020_1594276507_1124062_4620456_s.jpg

Pada bulan Rejab, Allah SWT menzahirkan kekuasaanNya dengan berlakunya Isra’ dan Mikraj sehingga solat difardhukan pada malam tersebut.

Pada bulan Syaaban, malam Nisfu Syaaban, Allah SWT menzahirkan kekuasaanNya dengan semua buku catatan amalan manusia ditukarkan

Pada bulan Ramadhan, Allah SWT menzahirkan kekuasaanNya dengan menghantarkan rombongan malaikat Rahmat agar mengunjungi hamba-hamba Allah SWT yang rindukan Allah SWT, yang hidup suci tanpa maksiat di siang hari dan berqiamullail di malam hari iaitu malam Lailatul Qadar.

01 Ogos 2010

Al-kisah...Jangan buat!

Sesungguhnya didalam hidup kita dikelilingi oleh perkara-perkara yang menyeronokkan. Tetapi perkara itulah sesungguhnya yang mendatangkan keburukan kepada kita. Terdapat 24 perkara yang jangan dilakukan yang seharusnya kita ambil iktibar supaya kita dapat memuhasabah diri sendiri.

Jangan sengaja lewatkan solat. Perbuatan ini tidak disukai oleh ALLAH SWT.

Jangan masuk ke bilik air tanpa memakai alas kaki (selipar). Dikhuatiri terbawa keluar najis dan mengotori seluruh rumah kita.

Jangan makan dan minum dalam bekas yang pecah atau sumbing. Makruh kerana ianya merbahayakan.

Jangan biarkan pinggan mangkuk yang telah digunakan tidak berbasuh. Makruh dan mewarisi kepapaan.

Jangan tidur selepas solat subuh, nanti rezeki mahal (kerana waktu pagi itu membuka segala pintu keberkatan).

Jangan makan tanpa membaca BISMILLAHHIRRAHMANNIRAHIM dan doa makan. Nanti makanan yang dijamah adalah dari muntah syaitan.

Jangan keluar rumah tanpa niat membuat kebajikan atau kebaikan. Takut-takut anda mati dalam perjalanan.

Jangan pakai kasut atau selipar yang berlainan pasangan. Makruh dan mewarisi kepapaan.

Jangan biar mata liar di perjalanan. Nanti hati kita gelap diselaputi dosa.

Jangan bergaul bebas di tempat kerja. Banyak buruk dan baiknya.

Jangan menangguhkan taubat bila berbuat dosa kerana mati boleh datang bila-bila masa.

Jangan ego untuk meminta maaf kepada kedua ibu bapa dan sesama manusia kalau memang kita bersalah.

Jangan mengumpat sesama rakan taulan. Ia boleh merosakkan silaturrahim.

Jangan lupa bergantung harap hanya kepada ALLAH SWT dalam setiap kerja kita. Nanti sombong bila berjaya dan kecewa pula bila gagal.

Jangan bakhil untuk bersedekah. Sedekah itu memanjangkan umur dan memurahkan rezeki kita.

Jangan banyak ketawa nanti jiwa mati.

Jangan biasakan berbohong kerana ia adalah ciri-ciri munafik dan menghilangkan kasih sayang orang kepada kita.

Jangan suka menganiaya manusia atau haiwan kerana doa makhluk yang teraniaya cepat dimakbulkan ALLAH SWT.

Jangan terlalu susah hati dengan urusan dunia. Akhirat itu lebih utama dan kekal selamanya. Carilah kehidupan dunia untuk akhirat.

Jangan duduk dalam bilik air terlalu lama kerana di situlah tempat tinggal jin kafir dan syaitan.

Jangan merokok dan memasang kemenyan kerana asap itu adalah makanan jin.

Jangan lupa membaca BISMILLARRAHMANIRAHIM dan salam ketika masuk ke rumah. Dikhuatiri jin dan syaitan masuk bersama.

Jangan memakai tangkal kerana ALLAH SWT tidak sempurnakan agama seseorang itu jika memakainya tangkai. Ini adalah kerana dikhuatiri kita bergantung kepada tangkal, bukan kepadanya.

Jangan mempertikaikan kenapa ISLAM itu berkata ‘jangan’. Sebab semuanya untuk kebaikan dan kesungguhannya ALLAH SWT itu lebih mengetahui.

26 Julai 2010

Al-kisah...Tidak ada kalimah Allah!

http://images.alwatanvoice.com/news/large/2559446812.jpg

Surah Fussilat ayat ; 53.

"Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami di segala wilayah bumi dan pada diri mereka sendiri, hingga jelas bagi mereka bahwa Al Quran itu adalah benar. Tiadakah cukup bahwa sesungguhnya Tuhanmu menjadi saksi atas segala sesuatu?"

Seorang wanita bertugas yang bertugas di sekolah kelolaan Al-Azhar Mesir mendapati kertas Al-Quran yang telah dikoyaknya, tidak lagi mengandungi lafaz Allah SWT. Dia ingin membakar helaian Al-Quran tersebut dengan bertujuan agar tidak dipijak atau dibuang ke tempat yang kotor, tetapi apabila diperhati dengan teliti, helaian kertas tersebut tidak lagi tertulis nama Allah SWT .

25 Julai 2010

Al-kisah...Janji Allah pada si penzina!

"Wahai manusia semua ! Peliharalah dirimu dari zina, kerana pada zina itu ada enam bala bencana, tiga darpadanya ( anda akan menerima) di dunia dan tiga lagi di akhirat."

Tiga bencana di dunia ialah;

  1. Menumpulkan kecerdasan otak.
  2. Menyebabkan papa.
  3. Memendekkan umur.

Tiga lagi bencana di akhirat;

  1. Mendapat kemurkaan Allah SWT.
  2. Mendapat keputusan yang buruk pada pengiraan di akhirat.
  3. Mendapat seksaan api neraka.

23 Julai 2010

Al-kisah...Anugerah kepada orang sakit!

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;

"Bagi orang sakit empat kelebihannya;

Qalam yang mencatit amalannya, tidak akan mencatit amalan kejahatannya tetapi akan mencatit amal kebaikkan selama ia sakit.

Allah menyuruh para Malaikat mencatit amal kebaikkannnya semasa dia sihat dahulu, walaupun pada masa sakitnya ia tidak dapat melakukannya, tetapi tetap mendapat pahala tersebut.

Setiap sendi yang mengalami kesakitan akan terkeluar dari sendi tersebut dosa dari amalan kejahatannya terdahulu.

Jika dia sakit sehingga mati, matinya mendapat keampunan dari Allah SWT. Jika ia sembuh Allah juga mengampun segala dosanya."

09 Julai 2010

Al-kisah...Mengapa Allah berkata TIDAK kepadamu!


Aku memohon kepada Allah untuk menyingkirkan penderitaanku.
Allah SWT menjawab;
"TIDAK, itu bukan untuk Kusingkirkan tetapi untuk kau mengalahkannya"

Aku memohon kepada Allah untuk menyempurnakan kecacatanku.
Allah menjawab;
"TIDAK,
jiwa itu adalah sempurna, badan hanyalah sementara"

Aku meminta kepada Allah untuk menghadiahkanku kesabaran.
Allah menjawab;
"TIDAK, kesabaran adalah hasil dari kesusahan. Ia tidak dihadiahkan, ia harus dipelajari"

Aku meminta kepada Allah untuk memberiku kebahagiaan.
Allah menjawab;
"TIDAK, Aku memberimu berkat, kebahagiaan adalah bergantung kepadamu"

Aku memohon kepada Allah untuk menjauhkan penderitaanku.
Allah menjawab;
"TIDAK, penderitaan menjauhkanmu daripada perhatian duniawi dan membawamu dekat pada-Ku"

Aku meminta kepada Allah segala hal sehingga aku dapat menikmati hidup.
Allah menjawab;
"TIDAK, Aku akan memberimu hidup sehingga kau dapat menikmati segala hal"

Aku meminta kepada Allah membantuku mengasihi orang lain yang kukasihi seperti mana Engkau mengasihiku.
Allah menjawab;
"Akhirnya kau mengerti, HARI INI ADALAH MILIKMU JANGAN SIA-SIAKAN. Bagi dunia kamu, mungkin hanyalah seseorang, tetapi bagi seseorang, kamu adalah dunianya."

Al-kisah...Gambaran Alam Mahsyar!

Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala (bentuknya seperti tanduk besar) yang memekakkan telinga, seluruh makhluk mati kecuali Izrail dan beberapa malaikat yang lain. Selepas itu, Izrail pun mencabut nyawa malaikat yang tinggal dan akhirnya nyawanya sendiri.

Selepas semua makhluk mati, Allah SWT pun berfirman yang bermaksud;
"Kepunyaan siapakah kerajaan hari ini?"
Tiada siapa yang menjawab. Lalu Dia sendiri menjawab dengan keagunganNya;
"Kepunyaan Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa."
Ini menunjukkan kebesaran dan keagunganNya sebagai Tuhan yang Maha Kuasa lagi Maha Kekal Hidup, tidak mati.

Selepas 40 tahun, Malaikat Israfil dihidupkan, seterusnya meniup sangkakala untuk kali kali ke-2 lantas seluruh makhluk hidup semula di atas bumi putih, berupa padang Mahsyar (umpama padang Arafah) yang rata tidak berbukit atau bulat seperti bumi.

Sekelian manusia hidup melalui benih anak Adam yang disebut "Ajbuz Zanbi" yang berada di hujung tulang belakang mereka. Hiduplah manusia umpama anak pokok yang kembang membesar dari biji benih.

Semua manusia dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan hina. Mereka tidak rasa malu kerana pada ketika itu hati mereka sangat takut dan bimbang tentang nasib dan masa depan yang akan mereka hadapi kelak.

Lalu datanglah api yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh yang menghalau manusia, jin dan binatang ke tempat perhimpunan besar. Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan (bagi yang banyak amal), berjalan kaki (bagi yang kurang amalan) dan berjalan dengan muka (bagi yang banyak dosa). Ketika itu, ibu akan lupakan anak, suami akan lupakan isteri, setiap manusia sibuk memikirkan nasib mereka.

Setelah semua makhluk dikumpulkan, matahari dan bulan dihapuskan cahayanya, lalu mereka tinggal dalam kegelapan tanpa cahaya. Berlakulah huru-hara yang amat dahsyat.

Tiba-tiba langit yang tebal pecah dengan bunyi yang dahsyat, lalu turunlah malaikat sambil bertasbih kepada Allah SWT. Seluruh makhluk terkejut melihat saiz malaikat yang besar dan suaranya yang menakutkan.

Kemudian matahari muncul semula dengan kepanasan yang berganda. Hingga dirasakan seakan-akan matahari berada sejengkal dari atas kepala mereka. Ulama berkata jika matahari naik di bumi seperti keadaannya naik di hari Kiamat nescaya seluruh bumi terbakar, bukit- bukau hancur dan sungai menjadi kering. Lalu mereka rasai kepanasan dan bermandikan peluh sehingga peluh mereka menjadi lautan. Timbul atau tenggelam mereka bergantung pada amalan masing-masing. Keadaan mereka berlanjutan sehingga 1000 tahun.

Terdapat satu kolam kepunyaan Nabi Muhammad SAW bernama Al-Kausar yang mengandungi air yang hanya dapat diminum oleh orang mukmin sahaja. Orang bukan mukmin akan dihalau oleh malaikat yang menjaganya. Jika diminum airnya tidak akan haus selama-lamanya. Kolam ini berbentuk segi empat tepat sebesar satu bulan perjalanan. Bau air kolam ini lebih harum dari kasturi, warnanya lebih putih dari susu dan rasanya lebih sejuk dari embun. Ia mempunyai saluran yang mengalir dari syurga.

Semua makhluk berada bawah cahaya matahari yang terik kecuali 7 golongan yang mendapat teduhan dari Arasy. Mereka ialah;

Pemimpin yang adil.

Orang muda yang taat kepada perintah Allah.

Lelaki yang terikat hatinya dgn masjid.

Dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.

Lelaki yang diajak oleh wanita berzina, tetapi dia menolak dengan berkata "Aku takut pada Allah".

Lelaki yg bersedekah dengan bersembunyi (tidak diketahui orang ramai).

Lelaki yang suka bersendirian mengingati Allah lalu mengalir air matanya kerana takutkan Allah.

Oleh kerana tersangat lama menunggu di padang mahsyar, semua manusia tidak tahu berbuat apa melainkan mereka yang beriman, kemudian mereka terdengar suara "pergilah berjumpa dengan para Nabi". Maka mereka pun pergi mencari para Nabi. Pertama sekali kumpulan manusia ini berjumpa dengan Nabi Adam tetapi usaha mereka gagal kerana Nabi Adam menyatakan beliau juga ada melakukan kesalahan dengan Allah SWT. Maka kumpulan besar itu kemudiannya berjumpa Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s. (semuanya memberikan sebab seperti Nabi Adam a.s.) dan akhirnya mereka berjumpa Rasullullah SAW. Jarak masa antara satu nabi dengan yang lain adalah 1000 tahun perjalanan.

Lalu berdoalah baginda Nabi Muhammad SAW ke hadrat Allah SWT. Lalu diperkenankan doa baginda.

Selepas itu, terdengar bunyi pukulan gendang yang kuat hingga menakutkan hati semua makhluk kerana mereka sangka azab akan turun. Lalu terbelah langit, turunlah Arasy Tuhan yang dipikul oleh 8 orang malaikat yang sangat besar (besarnya sejarak perjalanan 20 ribu tahun) sambil bertasbih dengan suara yang amat kuat sehingga Arasy itu tiba di bumi.

Arasy ialah jisim nurani yang amat besar berbentuk kubah (bumbung bulat) yang mempunyai 4 batang tiang yang sentiasa dipikul oleh 4 orang malaikat yang besar dan gagah. Dalam bahasa mudah ia seumpama istana yang mempunyai seribu bilik yang menempatkan jutaan malaikat di dalamnya. Ia dilingkungi embun yang menghijab cahayanya yang sangat kuat.

Kursi iaitu jisim nurani yang terletak di hadapan Arasy yang dipikul oleh 4 orang malaikat yang sangat besar. Saiz kursi lebih kecil dari Arasy umpama cincin di tengah padang . Dalam bahasa mudah ia umpama singgahsana yang terletak di hadapan istana.

Seluruh makhluk pun menundukkan kepala kerana takut. Lalu dimulakan timbangan amal. Ketika itu berterbanganlah kitab amalan masing-masing turun dari bawah Arasy menuju ke leher pemiliknya tanpa silap dan tergantunglah ia sehingga mereka dipanggil untuk dihisab. Kitab amalan ini telah ditulis oleh malaikat Hafazhah / Raqib dan Atid / Kiraman Katibin.

Manusia beratur dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing-masing. Orang kafir dan munafik beratur bersama pemimpin mereka yang zalim. Setiap pengikut ada tanda mereka tersendiri untuk dibezakan.

Umat yang pertama kali dihisab adalah umat Nabi Muhammad SAW dan amalan yang pertama kali dihisab adalah solat. Sedangkan hukum yang pertama kali diputuskan adalah perkara pertumpahan darah.

Apabila tiba giliran seseorang hendak dihisab amalannya, malaikat akan mencabut kitab mereka lalu diserahkan, lalu pemiliknya mengambil dengan tangan kanan bagi orang mukmin dan dengan tangan kiri jika orang bukan mukmin.

Semua makhluk akan dihisab amalan mereka menggunakan satu Neraca Timbangan. Saiznya amat besar, mempunyai satu tiang yang mempunyai lidah dan dua daun. Daun yang bercahaya untuk menimbang pahala dan yang gelap untuk menimbang dosa.

Acara ini disaksikan oleh Nabi Muhammad SAW dan para imam 4 mazhab untuk menyaksikan pengikut masing-masing dihisab.

Perkara pertama yang diminta ialah Islam. Jika dia bukan Islam, maka seluruh amalan baiknya tidak ditimbang bahkan amalan buruk tetap akan ditimbang.

Ketika dihisab, mulut manusia akan dipateri, tangan akan berkata-kata, kaki akan menjadi saksi. Tiada dolak-dalih dan hujah tipuan. Semua akan diadili oleh Allah SWT dengan Maha Bijaksana.

Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada orang ramai untuk menuntut hak masing-masing dari makhluk yang sedang dibicara sehinggalah seluruh makhluk berpuas hati dan dibenarkannya menyeberangi Titian Sirat.

Syafaat Nabi Muhammad SAW di akhirat (semuanya bergantung dengan keizinan Allah);

Meringankan penderitaan makhluk di Padang Mahsyar dengan mempercepatkan hisab.

Memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa hisab.

Mengeluarkan manusia yang mempunyai iman sebesar zarah dari neraka.

Para nabi dan rasul serta golongan Khawas juga diberikan izin oleh Allah untuk memberi syafaat kepada para pengikut mereka. Mereka ini berjumlah 70 000. Setiap seorang dari mereka akan mensyafaatkan 70 000 orang yang lain.

Setelah berjaya dihisab, manusia akan mula berjalan menuju syurga melintasi Siratul Mustaqim iaitu jambatan yang terbentang di bawahnya neraka. Lebar jambatan ini adalah seperti sehelai rambut yang dibelah tujuh dan ia lebih tajam dari mata pedang. Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan dimudahkan menyeberanginya.

Fudhail bin Iyadh berkata perjalanan di Sirat memakan masa 15000 tahun. 5000 tahun menaik, 5000 tahun mendatar dan 5000 tahun menurun. Ada makhluk yang melintasinya seperti kilat, seperti angin, menunggang binatang korban dan berjalan kaki. Ada yang tidak dapat melepasinya disebabkan api neraka sentiasa menarik kaki mereka, lalu mereka jatuh ke dalamnya.

Para malaikat berdiri di kanan dan kiri sirat mengawasi setiap makhluk yang lalu. Setiap 1000 orang yang meniti sirat, hanya seorang sahaja yang berjaya melepasinya. 999 orang akan terjatuh ke dalam neraka.

Wallahualam...

08 Julai 2010

Al-kisah...Tentang DIA !


Bila DIA cepat makbulkan doamu, maka DIA menyayangimu,

Bila DIA lambat makbulkan doamu, maka DIA ingin mengujimu,

Bila DIA tidak makbulkan doamu, maka DIA merancang sesuatu yang lebih baik untukmu.

Oleh itu,
sentiasalah bersangka baik kepada DIA Allah SWT dalam apa jua situasi,
kerana kasih sayang Allah itu mendahului kemurkaanNya.