Memaparkan catatan dengan label Berita semasa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Berita semasa. Papar semua catatan

19 Mac 2011

Al-kisah...Nikah berhelah!

Oleh Rashidi Karim
am@hmetro.com.my

KANGAR: Ramai penjual karpet warga Pakistan dikesan berkahwin secara mudah dengan wanita Melayu di Selatan Thailand dipercayai dengan niat tersembunyi untuk mendapat taraf Penduduk Tetap (PR) dan seterusnya MyKad agar boleh terus tinggal serta berniaga di Malaysia.

Kegiatan itu terbukti apabila statistik pernikahan yang direkod Pejabat Konsul Besar Malaysia di Songkhla, Thailand, mendapati ramai wanita tempatan berkahwin dengan lelaki Pakistan berbanding lelaki warga negara lain. Konsul Besar Malaysia di Songkhla, Mohd Aini Atan berkata, sepanjang tahun lalu 45 kes perkahwinan membabitkan wanita tempatan dengan lelaki Pakistan direkodkan di selatan Thailand dengan sebahagian besarnya dilakukan di wilayah Songkhla.

Menurutnya, jumlah perkahwinan membabitkan lelaki Pakistan itu tertinggi berbanding lelaki negara lain iaitu sembilan membabitkan warga Bangladesh, India (lapan) dan Nepal (tiga).

“Kami percaya pasangan terbabit bernikah di selatan Thailand menggunakan jurunikah yang diiktiraf pihak berkuasa agama Islam Malaysia dan kemudian mendaftarkan perkahwinan dengan kami untuk tujuan pengesahan,” katanya.

Menurutnya, kemunculan ramai warga Pakistan berkahwin dengan warga tempatan, khususnya wanita Melayu di selatan Thailand dianggap fenomena baru yang jarang berlaku berbanding pernikahan membabitkan pasangan lelaki atau wanita dari Thailand dan Indonesia.

“Pihak berkuasa Malaysia perlu menjalankan siasatan terperinci berhubung perkahwinan mudah di selatan Thailand, terutama membabitkan warga Malaysia dengan penduduk dari benua kecil India iaitu Pakistan, India, Nepal dan Bangladesh serta warga asing lain dari seluruh dunia.

“Ini kerana kita curiga perkahwinan itu dilangsungkan dengan niat tersembunyi iaitu ingin memudahkan usaha mereka mendapat PR dan MyKad,” katanya.

Selain itu, menurutnya, berdasarkan statistik, seramai 782 daripada 3,260 kes pernikahan di selatan Thailand yang dicatatkan tahun lalu membabitkan warga Malaysia dengan warga asing dari 31 negara, termasuk dari Korea, Denmark, Sweden, Amerika Syarikat dan Iran.

Sementara itu, Shafie Kayem Manaf, seorang jurunikah bertauliah dari daerah Klonget, Songkhla ketika dihubungi semalam, mengaku melangsungkan pernikahan membabitkan ramai pasangan Malaysia dengan warga asing, terutama dari Pakistan, Bangladesh dan India.

“Saya pun terkejut apabila mendapati wanita tempatan hadir bersama pasangannya dari Pakistan untuk berkahwin di rumah saya. Selepas melepasi hukum syarak ditetapkan agama, saya bersama pembantu melangsungkan perkahwinan secara sah sebelum meminta mereka mendaftarkan dengan pihak Konsul Malaysia di Songkhla,” katanya.

16 Mac 2011

Al-kisah...Keajaiban air zam zam di Johor!

JOHOR BAHRU – Niat seorang bapa untuk membeli roti kepada anaknya setelah pulang dari kerja tidak kesampaian apabila dia menerima panggilan mengatakan rumah yang didiaminya musnah dalam kebakaran di Kampung Sungai Perling dekat Skudai, di sini, malam semalam.

Hamsani Radi, 46 berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9 malam itu disedari anak perempuannya yang ketika itu sedang menonton televisyen.

“Ketika kejadian, saya dalam perjalanan pulang ke rumah dan singgah sebentar di kedai runcit untuk membeli roti yang dikirim anak saya. Namun belum sempat saya membelinya, saya menerima panggilan daripada jiran mengatakan rumah saya terbakar.

Saya bergegas pulang ke rumah kerana risau keadaan anak-anak saya. Ketika itu yang ada di rumah hanyalah mereka bertiga,” katanya.

Menurutnya, kebakaran berpunca dari bilik hujung yang disedari anak bongsunya ketika menonton televisyen.

Tiada apa yang dapat diselamatkan, kami tinggal sehelai sepinggang.

Dalam rumah ini macam-macam barang yang disimpan musnah, sijil premium BSN, surat beranak, dokumen-dokumen penting dan barang kemas,” katanya.

Katanya, kejadian itu berlaku dengan pantas dan dia bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM40,000.

Hamsani berkata, dia terkejut apabila setelah api berjaya dipadamkan, hanya dua botol air zamzam tidak dijilat api.

Air zamzam ini disimpan di dalam rumah berhampiran dapur. Saya terkejut apabila semua barang lain di sekitarnya musnah dijilat api kecuali dua botol air zamzam yang hanya renyuk sedikit sahaja,” katanya yang juga merupakan seorang anggota Rela.

(Sumber: Sinar Harian)

12 Mac 2011

Al-kisah...Murid 11 tahun lebih bijak daripada Einsten!



CLAVERLEY - Seorang murid perempuan, Victoria Cowie (gambar) yang baru berusia 11 tahun dikatakan lebih bijak berbanding saintis terkenal seperti Albert Einstein dan Stephen Hawking kerana dia memiliki skor kecerdasan (IQ) mencecah 162, lapor sebuah akhbar semalam.

Kepintaran Cowie diakui selepas dia mendapat skor 162 dalam ujian IQ.

Pencapaian itu adalah lebih baik daripada skor yang diperoleh oleh saintis terkenal, Albert Einstein, Stephen Hawking dan pengasas perisian komputer, Bill Gates iaitu 160.

"Saya sangat sukakan teka-teki dan menyelesaikan masalah. Saya mahu belajar dalam jurusan sains, terutama biologi," katanya yang sudah mendapat tawaran biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di empat buah sekolah berprestij.

Selain meminati mata pelajaran sains dan membuat eksperimen, Cowie juga suka berlakon, menari dan bermain alat muzik.

Ibunya, Alison, memberitahu, anaknya itu mempunyai kemampuan membaca sejak kecil dan pernah memenangi anugerah sains di sekolah.

Ibu bapanya kurang pasti daripada mana Cowie mewarisi kepintarannya itu.

Purata IQ manusia ialah 100.

Ekoran keputusan tersebut, Cowie mengalahkan kepintaran Napoleon Bonaparte yang mendapat skor 145, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton (140), penyanyi terkenal, Madonna (140) dan pengarah filem, Quentin Tarantino (160). - Agensi

Al-kisah...Rumah pusaka hilang dicuri orang!

KANGAR: Kecurian barangan dalam rumah mungkin jenayah biasa, namun seorang suri rumah di sini amat terkejut apabila mendapati rumah pusakanya yang terletak di Jalan Raja Syed Alwi dekat sini, hilang.

Kehilangan rumah kayu setingkat berusia 60 tahun itu disedari Zuria Ali, 30, Khamis lepas apabila dihubungi penduduk yang tinggal berhampiran rumah tersebut.

"Saya bergegas pulang ke Perlis keesokan harinya (Jumaat) dan terkejut kerana yang tinggal hanya tapak rumah dan 24 pelapik tiang konkrit," katanya yang melaporkan kejadian itu kepada polis pada hari sama.

Zuria, yang kini menetap di Taman Cahaya, Kampar, Perak, kelihatan sedih ketika ditemui pada Khamis kerana baginya, rumah itu menyimpan sejuta nostalgia memandangkan di situlah tempat beliau dibesarkan sehingga melangkahkan kaki ke alam perkahwinan.

Barangan peninggalan ibunya, Allahyarham Jahara Jasin, yang meninggal dunia pada 2004, dan disimpan di rumah itu termasuk perabot, peti sejuk serta pinggan, turut hilang.

Apa yang tinggal adalah barangan tidak berguna seperti televisyen rosak, cebisan papan buruk serta pelapik tiang konkrit.

Zuria berkata rumah itu disewa pada kadar RM100 sebulan kepada seorang penduduk di kawasan tersebut, dan kali terakhir penyewa membuat bayaran ialah Oktober lalu.

Penyewa rumah itu juga gagal dikesan namun motosikal yang dipercayai miliknya ditemui berhampiran tapak rumah tersebut.

Suri rumah itu berkata, beliau percaya pencuri terbabit menggunakan lori bagi mengangkut bahagian yang dirobohkan kerana bangunan rumah itu agak besar.

Penduduk berhampiran dikatakan melihat kerja-kerja merobohkan rumah itu pada Februari lalu dan tidak diganggu kerana mereka menyangkakan ia arahan pemilik rumah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

"Kes sebegini jarang berlaku. Kami sedang menyiasat mengenai status rumah terbabit serta puncanya, dan mereka yang bertanggungjawab mengambil rumah itu," katanya. - BERNAMA

10 Mac 2011

Al-kisah...Kekuatan sebenar wanita!

MEMASAK, mengemas, mendidik anak dan menguruskan rumah tangga sememangnya sinonim dengan peranan wanita dalam sesebuah keluarga sejak dulu.

Namun seiring dengan peredaran masa, wanita zaman ini tidak lagi terperuk di rumah dan sekadar menjadi tulang belakang kepada ketua keluarga.

Wanita zaman ini memenuhi kekosongan dunia korporat dan perniagaan malah makin ramai menjadi tunjang keluarga berikutan suami tidak mampu menyediakan segala kemudahan disebabkan pelbagai masalah.

Justeru, wanita seharusnya diberi penghormatan memandangkan mereka turut menyumbang kepada kesejahteraan dan keseimbangan ekonomi keluarga serta negara.

Mesej itu yang sentiasa disampaikan Tupperware Brands menerusi pelbagai skim bantuan perniagaan dan anugerah bagi menghargai serta mengenang jasa wanita dalam masyarakat.

Seiring dengan sambutan Hari Wanita Sedunia, Selasa lalu, Tupperware Brands mengiktiraf ahlinya serta wanita yang berusaha mengubah kehidupan mereka, sekali gus berjaya dalam bidang masing-masing.

“Wanita adalah figura penting dalam sebuah institusi kekeluargaan dan komuniti, kekuatan seseorang wanita itu tidak hanya mampu mengubah kehidupan dirinya menjadi lebih baik, malah keluarga serta orang yang rapat dengannya.

“Makin ramai wanita kini menjadi penyumbang utama kepada ekonomi keluarga malah ada yang terpaksa merangkul gelaran ketua keluarga atas pelbagai faktor.

“Jadi, peranan tambahan yang diletakkan di bahu wanita ini tidak boleh dipandang remeh tetapi perlu diangkat dan diiktiraf kerana sememangnya wanita yang banyak menjana kepada kesejahteraan sesebuah keluarga.

“Sejak dulu misi Tupperware Brands untuk membantu mengubah hidup seseorang terutama wanita. Anugerah Wanita Inspira Tupperware Brands ini inisiatif kami untuk menghargai serta menyanjungi wanita yang banyak memberi kesan kepada kehidupan orang lain,” ujar Naib Presiden Pasaran Asia Tenggara merangkap Pengarah Urusan Tupperware Brands Asia Tenggara, David Wong.

Berteraskan slogan 3E (Enlighten, Educate dan Empower), Tupperware Brands berusaha mendidik serta menyedarkan masyarakat bahawa peluang sentiasa terbuka untuk wanita mengubah hidup mereka.

Tambah Wong, sejak lebih tiga dekad Tupperware membuka peluang kepada wanita untuk merealisasi impian mereka. Jika sebelum ini mereka pemalu dan takut berdepan orang ramai, kini selepas menceburi perniagaan Tupperware, mereka semakin berkeyakinan malah boleh berkongsi pendapat di pentas.

Ada juga yang menjadi mangsa penderaan kini bangkit dan memulakan hidup baru yang lebih positif. Ada juga wanita disahkan menghidap penyakit kronik tetapi mampu hidup gembira, sekali gus menghalang penyakitnya daripada merebak. “Secara tidak langsung golongan ini memberi inspirasi kepada wanita lain untuk lebih berjaya dan Anugerah Wanita Inspira Tupperware Brands ini menjadi platform untuk wanita mencetuskan inspirasi kepada wanita lain,” katanya.

Pencarian penerima anugerah ini bermula pada pertengahan 2010 apabila ahli Tupperware Brands berpeluang mencoretkan kisah inspirasi mereka sama ada kisah kejayaan dalam perniagaan Tupperware serta kisah lain yang tidak berkaitan. Pada akhir pertandingan, hanya 12 cerita dipilih, lapan daripada Tupperware manakala empat diambil daripada kisah luar yang disyorkan masyarakat. Kedua-dua kategori pemenang pula diadili secara kiriman pesanan ringkas (SMS) oleh pembaca Harian Metro.

Norlia Ismail muncul juara bagi kategori ahli Tupperware berdasarkan kisahnya berdepan masalah kegawatan ekonomi yang melanda negara serta seluruh dunia pada 1997 hingga memberi kesan mendalam kepada keluarganya.

Masalah itu turut mengakibatkan perniagaan suaminya terjejas teruk hingga terpaksa menjual semua harta benda. Keadaan lebih buruk apabila enam anaknya terpaksa berhenti sekolah seketika kerana mereka kekurangan wang.

Selepas diperkenalkan dengan perniagaan Tupperware Brands lebih 13 tahun lalu, Norlia kini mencapai pangkat pengarah eksekutif, sekali gus memperbaiki taraf kehidupan keluarganya sehingga semua anak berjaya ke menara gading dan bekerja.

Sementara itu, pengorbanan dan kepayahan Zaidah Tamjis membantu anaknya, Siti Hawa Apandi meredah cabaran di menara gading diiktiraf Tupperware Brands bagi kategori kisah luar. Siti Hawa mengalami masalah spinal muscular atrophy tahap dua yang melemahkan urat saraf lalu menyebabkan anggota tubuhnya mengecil dari semasa ke semasa dan semakin hilang keupayaan untuk bergerak.

Situasi itu membuatkan Siti Hawa hanya mampu duduk di kerusi roda dan setiap pergerakan serta keperluannya diuruskan Zaidah yang melakukan segalanya termasuk mengikuti pengajian anaknya semasa kuliah hingga Siti Hawa berjaya meraih anugerah dekan dan menamatkan pengajiannya. Siti Hawa kini menyambung pengajiannya di peringkat ijazah sarjana muda bagi jurusan kejuruteraan perisian di Universiti Malaysia Pahang. Zaidah pula akan terus menyambung peranannya seperti sebelum ini antaranya menemani Siti Hawa menghadiri kuliah serta ‘menduduki’ peperiksaan bersama-sama.

Kedua-dua pemenang itu menerima pakej pelancong ke Korea bernilai RM6,000 dan pelbagai barangan Tupperware yang mencecah RM1,000.

18 Januari 2011

Al-kisah...Pelajar berusia 15 tahun dibunuh kejam sebelum ditanam di belakang rumah!

KOTA SAMARAHAN: Seorang pelajar yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu ditemui mati dibunuh secara kejam dan mayatnya ditanam dalam lubang sedalam setengah meter di belakang sebuah rumah di Kampung Sadong Jaya di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Deputi Supritendan Abdul Rahman Ahmad berkata, Taufik Abdul Rahim, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semera mati akibat kecederaan parah di kepala dipercayai dibunuh sekumpulan lelaki yang terbabit dalam sindiket curi motosikal serta pecah rumah.

Beliau berkata, penemuan mayat mangsa yang berasal dari Kampung Iboi, Sadong Jaya pada jam 10 pagi ini susulan penahanan seorang remaja berusia 19 tahun di Kampung Sadong Jaya awal Isnin yang dipercayai turut terbabit dalam pembunuhan tersebut.

"Menerusi siasatan awal polis, suspek mengaku terbabit dalam kejadian tersebut dan turut mendedahkan lokasi mangsa ditanam kira-kira 10 pagi ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau berkata, siasatan awal pasukan forensik di lokasi kejadian mendapati tanah di belakang rumah itu mempunyai kesan baru digali sebelum menemui mayat mangsa yang masih lengkap berpakaian serta berlumuran darah.

Polis, kata Abdul Rahman, juga menemui sebatang kayu yang dipercayai digunakan oleh kumpulan tersebut untuk membunuh mangsa tidak jauh dari lubang tempat mayat mangsa ditemui.

Beliau berkata, berdasarkan laporan awal siasatan, sekumpulan lelaki yang dipercayai daripada geng sindiket curi motosikal dan pecah rumah cuba memujuk mangsa untuk menyertai kumpulan terbabit memandangkan mangsa telah mengetahui kegiatan mereka, namun mangsa enggan.

Berikutan kejadian itu, Abdul Rahman berkata, polis kini turut memburu suspeklain yang dipercayai masih bebas dan terbabit dalam pembunuhan kejam itu. - BERNAMA

17 Januari 2011

Al-kisah...Ketua Jurulatih PLKN (Ovai, Papar) maut dirempuh pacuan empat roda!

JENAYAH

MOHD. Faizal Silong Abdullah maut dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 6, Jalan Lama Papar-Kota Kinabalu, kelmarin.

PAPAR 16 Jan. - Seorang ketua jurulatih Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah pacuan empat roda di Kilometer 6 Jalan Lama Papar-Kota Kinabalu di sini semalam.

Kejadian berlaku pukul 6.50 pagi ketika mangsa, Mohd. Faizal Silong Abdullah, 48, dalam perjalanan dari rumahnya ke Kem PLKN Ovai di sini.

Ketua Trafik daerah, Asisten Supritendan Fauzi Sahat berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di seluruh bahagian badan.

"Semasa kejadian, mangsa yang merupakan Ketua Jurulatih PLKN Ovai dalam perjalanan ke kem berkenaan dari rumahnya.

"Sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, sebuah pacuan empat roda dari Kota Kinabalu ke Bongawan dikatakan memasuki lorong bertentangan sebelum bertembung dengan motosikal yang ditunggangi mangsa," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Fauzi, mayat mangsa dihantar ke Hospital Papar untuk bedah siasat dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau memberitahu, polis telah menahan pemandu kenderaan pacuan empat roda berkenaan untuk siasatan lanjut.

"Siasatan awal mendapati pemandu kenderaan jenis Toyota Hilux berusia 21 tahun itu dipercayai mengambil minuman keras sebelum terbabit dalam kemalangan itu," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya tidak memandu dalam keadaan mabuk dan mematuhi peraturan jalan raya.

Katanya, tindakan tegas mengikut undang-undang akan dikenakan kepada sesiapa sahaja yang melanggar peraturan jalan raya.

Al-kisah...Ranau tidak sesuai!


IMBAS KEMBALI...Presiden KOAM, Datuk Seri Shahidan Kassim (tengah) bersama atlet dan jurulatih olahraga ketika sesi taklimat menghadapi Sukan Sea Laos  pada 26 Oktober 2009.
IMBAS KEMBALI...Presiden KOAM, Datuk Seri Shahidan Kassim (tengah) bersama atlet dan jurulatih olahraga ketika sesi taklimat menghadapi Sukan Sea Laos pada 26 Oktober 2009.

CADANGAN Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) untuk mengadakan program latihan atlet dengan kos RM3 juta di Kompleks Sukan Ranau, Sabah ditolak Majlis Sukan Negara (MSN), semalam.

Ketua Pengarah, Datuk Zolkples Embong berkata, tempat latihan dikemukakan badan induk sukan olahraga itu tidak sesuai kerana daripada segi geografi, Ranau bukan kawasan tanah tinggi yang sesuai untuk latihan atlet acara trek.

“Kami tidak mahu bazirkan peruntukan kerajaan untuk program yang tidak memberi kesan kepada pembangunan semua atlet,” katanya mengulas perkembangan cadangan KOAM untuk mengadakan program latihan di luar Kuala Lumpur bagi persiapan menghadapi Sukan Sea di Indonesia.

Beliau berkata, atlet olahraga perlukan pertandingan berbentuk kompetitif dan bukannya menjalani latihan di luar Kuala Lumpur.

Zolkples berkata, MSN akan berhati-hati menyalurkan peruntukan kewangan kepada KOAM selepas badan olahraga itu didapati beberapa kali menggunakan peruntukan tidak mengikut cadangan MSN.

“Tahun lalu MSN menyalurkan peruntukan besar kepada KOAM bagi program pembangunan atlet tapi digunakan untuk menghantar atletnya bertanding di luar negara,” katanya.

Katanya, MSN menyalurkan peruntukan khas kepada KOAM untuk membeli peralatan bantuan sukan namun mereka tidak membuat pembelian itu dan wang tidak dikembalikan kepada MSN.

“Saya kecewa dengan kenyataan KOAM mendesak atlet yang masih belajar menyertai program sedangkan ada di antara mereka perlu menghabiskan pengajian tahun ini selepas tujuh tahun menangguh pengajian.

“Tahun ini atlet tidak ada banyak kejohanan penting dan inilah masa mereka menghabiskan baki pengajian di institut pengajian tinggi sebelum kembali sibuk dengan kejohanan sukan tahun depan,” katanya.

Tahun depan atlet negara perlu memberi sepenuh perhatian kepada persiapan menghadapi temasya Sukan Olimpik London, katanya.

09 Januari 2011

Al-kisah...Kekal menawan pikat suami!

Oleh ISMA ISMAIL dan MOHD RAZLAN SALLEH
metahad@hmetro.com.my

INTIM... Mansura bahagia di sisi suami, Yusuf.
INTIM... Mansura bahagia di sisi suami, Yusuf.

SANDAKAN: “Walaupun kegarangan suami boleh diumpamakan seperti sang harimau yang pantang dicabar, itu tidak bermakna mereka tidak boleh dijinakkan.

“Seperti bayi yang akan berhenti merengek selepas dapat menyusu, begitu juga halnya dengan si suami yang akan layu ketika ‘disusukan’,” begitulah nasihat Mansura Sirai tanpa segan silu menceritakan rahsia kerukunan rumah tangganya bersama suami tercinta, Yusuf Susuk, 70, sejak lebih 50 tahun lalu.

Ibu berusia 65 tahun yang melahirkan 23 cahaya mata ini mengakui payudara isteri memainkan peranan utama bagi menawan suami dan mengelaknya beralih cinta kepada wanita lain.

“Sebagai isteri, kita harus tahu menjaga penampilan diri dari luar dan dalam selain sentiasa bergurau setiap masa, terutama di bilik tidur.

“Bayangkan perasaan suami apabila melihat tubuh kita kendur di sana sini, sudah pasti hilang selera untuk bersama dan menjadi alasan mencari pucuk muda yang lebih gebu,” katanya tanpa berselindung.

Mansura berkata, jika aset wanita itu sentiasa padat, kerukunan rumah tangga dan hubungan suami isteri sentiasa hangat.

Kesempatan menemui Mansura secara bersemuka membuktikan kebenaran kata-katanya.

Meskipun boleh dianggap nenek, tubuh Mansura seakan-akan tidak ditelan waktu dan kelihatan sihat seperti wanita berusia 30-an.

Penulis juga hanya menggeleng kepala sebaik diberitahu wanita berkenaan berusia 65 tahun dan memiliki 23 anak selain bercucu dan cicit.

“Payudara perlu dijaga sebaik-baiknya dan antara caranya ialah memakan jamu dan bersenam.

“Jamu boleh dibuat sendiri menggunakan barang yang mudah didapati di pasar seperti ibu kunyit, asam jawa, lada putih, sirih, manjakani, gula, garam dan telur ayam kampung,” katanya ketika ditemui Metro Ahad di sini, baru-baru ini.

Mansura berkata, pemakanan jamu membolehkan badan lebih sihat dan bertenaga serta menegangkan otot kendur, terutama sistem peranakan.

“Saya tidak pernah mengamalkan ilmu songsang atau susuk kerana ia perbuatan syirik,” katanya.

Selain 23 anak, termasuk enam yang meninggal dunia sebaik dilahirkan, Mansura turut dikurniakan 60 cucu dan empat cicit.

“Bayangkan selepas melahirkan anak, saya boleh berjalan seperti biasa keesokannya dan ke pasar seminggu selepas itu. Ramai tidak percaya, tetapi itulah hakikatnya,” katanya.

Mansura berkata, dia berkahwin dengan Yusof ketika berusia 13 tahun dan terus bunting pelamin, namun kurang bernasib baik apabila beberapa anaknya meninggal selepas dilahirkan.

“Anak pertama mak cik sepatutnya berusia 52 tahun tetapi meninggal dunia sebaik dilahirkan, manakala paling bongsu berusia 15 tahun dan menuntut di Sekolah Menengah Batu Sapi,” katanya.

Mengikut perkiraan kasar, pasangan itu memperoleh anak sulung iaitu Junaidah, 46, ketika Mansura berusia 19 tahun dan melahirkan anak ke-23, Jefry Aman, 15, pada usia emas 50 tahun. Malah ketika berusia 30 tahun, dia mempunyai lapan anak.

Menurut Mansura, ramai wanita kini mengabaikan penjagaan diri dan enggan mengikuti nasihat orang tua yang dianggap kolot serta ketinggalan ramai.

“Selain petua ketika bersama, suami isteri perlu bertolak ansur kerana alam berumah tangga mempunyai 1,001 cabaran dan dugaan.

“Ketika suami marah, kita sebagai isteri perlu berdiam diri dan jangan sesekali melawan kerana ‘harimau’ yang mengamuk pantang dicabar,” katanya.

Mansura berkata, perkara sama perlu dilakukan suami apabila melihat isteri dalam keadaan marah.

“Sebagai orang tua, saya hanya mampu memberi nasihat kerana sedih mendengar pasangan yang baru mendirikan rumah tangga sudah naik turun mahkamah untuk bercerai.

“Sedih melihat isteri yang masih muda dan cantik terpaksa menjadi janda pada usia muda,” katanya.

Mansura juga berkata, kewangan bukan masalah utama jika tahu menguruskannya.

“Saya tidak kaya dan hanya menetap di rumah kayu, tetapi suami tetap sayang dan sentiasa membahagiakan saya. Sebagai balasan, saya kini mengambil alih tugasnya mencari rezeki berikutan kesihatannya kurang baik kebelakangan ini,” katanya.

>Senarai nama anak pasangan Mansura dan Yusuf

1. Junaidah, 46, suri rumah (perempuan)
2. Jainal, 43, polis bantuan (lelaki)
3. Halimah, 42, suri rumah (perempuan)
4. Junaida, 41, suri rumah (perempuan)
5. Zubaidah, 39, suri rumah (perempuan)
6. Maisah, 37, berniaga (perempuan)
7. Hamidah, 36, berniaga (perempuan)
8. Mohd Dalfa, 35, pemandu lori (lelaki)
9. Mohd Alfiah, 32, berniaga (lelaki)
10. Hassan, 30, jurujual (lelaki)
11. Hussin, 26, tidak bekerja (lelaki)
12. Masnah, 27, suri rumah (perempuan)
13. Halimah, 25, - meninggal dunia ketika usia 15 tahun (perempuan)
14. Hafizah, 23, suri rumah (perempuan)
15. Mohd Rafi, 21, pekerja swasta (lelaki)
16. Norasikin, 18, penganggur (perempuan)
17. Jefry Aman, 15, pelajar (lelaki)

Nota: Enam lagi tiada nama kerana meninggal dunia sebaik dilahirkan.

Al-kisah...Isteri kedua cemburu!

Oleh RIADZ RADZI
riadz@hmetro.com.my

ALOR SETAR: “Selepas menetak kepala saya, dia terus mencekak baju saya dan berkata ‘biar mampus kau’. Saya tak tahu kenapa dia bertindak begitu, tapi saya tahu dia memang cemburu dan ada niat membunuh saya,” kata Siti Aminah Hanapi, 50, yang parah di dahi, pipi dan tangannya akibat ditetak isteri kedua suami yang juga madunya di Kampung Seri Muda, Sungai Korok, Jitra, pagi kelmarin.

Akibat kejadian itu, Siti Aminah yang kini dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, menerima 42 jahitan di dahi dan pipi kirinya. Urat pada tiga jari kanan mangsa juga putus akibat kesan tetakan.

Siti Aminah berkata, dua hari sebelum kejadian, suspek yang berusia lewat 20-an itu hanya menghabiskan masa dengan berkurung di dalam bilik bersama anak lelakinya yang berusia lapan bulan.

“Pada hari kejadian, saya menyuruh anak saya, Nurul Shuhada Saad, 17, memanggil ibu tirinya supaya membawa keluar bayinya untuk diberi makan.

“Disebabkan tiada jawapan dari dalam bilik, Nurul Shuhada cuba memanjat dinding untuk melihat ke arah dalam bilik sebelum tiba-tiba wanita itu cuba menetaknya.

“Selepas itu dia terus meluru ke arah saya dan menetak dahi dan pipi menggunakan parang sepanjang kira-kira 40 sentimeter itu. Saya tak tahu di mana dia ambil parang itu, tetapi saya agak ia memang disimpan di dalam bilik itu,” katanya ketika ditemui di wad HSB, semalam.

Siti Aminah berkata, suaminya, Saad Husin, 45, berkahwin dengan wanita itu di Thailand tanpa pengetahuannya dua tahun lalu.

Madunya dibawa tinggal bersama sejak dua minggu lalu oleh Saad yang dipercayai mahu mengurangkan beban tanggungannya.

“Sepanjang tinggal bersama, tak pernah terjadi pergaduhan, malah kami turut makan semeja selain bersembang, cuma madu saya kadangkala lebih suka berkurung di dalam bilik.

“Saya tak tahu kenapa dia tiba-tiba mengamuk semalam (kelmarin), tetapi saya percaya ia disebabkan cemburu buta. Saya tahu kerana selama ini suami hanya membawa saya jika keluar berjalan-jalan atau ke mana-mana majlis kenduri.

“Saya percaya tindakannya semalam (kelmarin) kerana mahu menyingkirkan saya supaya dia boleh tinggal di rumah itu bersama-sama dengan suami,” katanya.

Siti Aminah berkata, dia kecewa apabila suaminya berkahwin lain dua tahun lalu, tetapi kini reda dengan dugaan itu dan menganggap ia adalah jodoh suaminya.

Namun, dia seperti tidak percaya apabila madunya sanggup bertindak begitu walaupun diberi peluang tinggal bersama di rumahnya.

Dalam pada itu, Siti Aminah berkata, sejak kejadian itu suaminya masih tidak melawatnya di hospital dan dipercayai berada di rumah keluarga madunya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Sawaludin Hamenudin ketika dihubungi, berkata, polis menahan suspek di rumah abangnya di Kuala Nerang, jam 3 petang semalam.

Beliau berkata, suspek yang berusia 20-an akan dibawa ke Mahkamah Majistret Jitra untuk mendapatkan perintah reman.

08 Januari 2011

Al-kisah...Populariti bintang bolasepak melonjak!

Oleh Mohd Zaky Zainuddin
zaky@bharian.com.my
2011/01/01

pix_gal0

Akaun Facebook pemain tarik ramai peminat

KUALA LUMPUR: Aksi mantap dalam Piala Suzuki AFF menyaksikan beberapa bintang bola sepak negara termasuk Khairul Fahmi Che Mat, Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha menarik peminat ke akaun laman sosial Facebook mereka.

Sehingga lewat petang semalam, akaun Facebook milik penjaga gol nombor satu negara itu mencatatkan hit 188,811 peminat, manakala penyerang, Safee (30,000) dan Norshahrul (27,973).
Melihat perkembangan itu, Presiden Kelab Penyokong Sukan Malaysia, Lee Hui Seng berkata, sokongan peminat akan berkekalan sekiranya pemain kebangsaan itu mengekalkan momentum dalam permainan selain mesra peminat.

“Sekiranya dua pemain ini mengekalkan prestasi, saya percaya sokongan peminat terus meningkat, apatah lagi perkembangan itu dapat kita ketahui menerusi Facebook dan rangkaian sosial Twitter.

“Sekarang mereka menjadi contoh terbaik kepada belia, namun tidak mustahil sekiranya mereka menonjolkan tingkah laku dan moral yang tidak baik ia akan menjejaskan sokongan peminat. Semua itu menjadi penyumbang kepada tahap sokongan peminat,” katanya, semalam.

BERNAMA semalam melaporkan Khairul Fahmi berada pada kedudukan kelima tertinggi di seluruh dunia bagi trend terkini Twitter menumpaskan ‘Support Timnas’, yang menyokong pasukan bola sepak Indonesia.

Sementara itu, pakar psikologi, Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad pula berkata, kehadiran pemain berbakat besar dalam skuad negara mencetus fenomena alaf baru kepada negara sekali gus menarik minat peminat bola sepak negara.

“Selama ini bola sepak negara lesu, namun kehadiran barisan pemain muda berbakat dalam pasukan negara termasuk kelibat Khairul Fahmi, Safee dan Norshahrul menyaksikan semula kegemilangan bola sepak.

“Bagaimanapun, populariti dua penyerang dan penjaga gol kebangsaan itu akan pudar sekiranya mereka tidak berpijak di bumi nyata dan mula besar kepala dengan apa yang dinikmati hari ini. Ia menyebabkan sokongan tidak akan kekal lama, ” katanya.

Sementara itu, Khairul Fahmi ketika dihubungi berkata, sokongan peminat yang melonjak selepas membantu negara membawa pulang Piala Suzuki AFF adalah penghargaan kepadanya namun situasi berkenaan tidak akan membuatnya lupa diri.

“Apabila sokongan peminat tinggi, ia bermakna komitmen saya juga semakin tinggi. Saya akan berusaha mengekalkannya demi karier saya dan paling penting dapat memantapkan mutu sukan bola sepak negara.

“Saya akan meraikan kejayaan ini bersama keluarga dengan mengadakan kenduri doa selamat di rumah saya di Kampung Cherang, Kota Bharu dalam masa terdekat,” katanya.

Bagi Norshahrul pula, kemasyhuran dan populariti yang dinikmati hari ini tidak akan berkekalan sekiranya pemain gagal mengekalkan disiplin di dalam dan luar padang.

“Soal masyhur bukan perkara pokok tetapi kemampuan diri untuk mengekalkan prestasi adalah lebih penting. Disiplin juga mempengaruhi sokongan peminat,” katanya.

Al-kisah...Wanita jalani rawatan IVF maut!

bhnews@bharian.com.my
2011/01/01

TAN  bersama ahli keluarga memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Lui Gah Chieng (gambar kecil) di   Pekan,  semalam.
TAN bersama ahli keluarga memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Lui Gah Chieng (gambar kecil) di Pekan, semalam.

Perut mangsa semakin membengkak, koma selepas lakukan pembedahan

PEKAN: Kegembiraan sepasang suami isteri untuk mendapatkan bayi melalui rawatan Persenyawaan Luar Rahim (IVF) bertukar mimpi ngeri apabila wanita terbabit meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, Rabu lalu.

Lui Gah Chieng, 34, disahkan meninggal dunia di wad HTAA kira-kira jam 2 petang, selepas hampir tiga minggu menanggung kesakitan yang didakwa berpunca daripada rawatan IVF sehingga terpaksa menjalani pembedahan.

Suaminya, Tan Yang Long, 39, berkata, beliau amat sedih apabila bukan saja harapannya untuk mendapatkan cahaya mata tidak kesampaian tetapi turut kehilangan isteri tercinta yang dikahwininya enam tahun lalu.

"Walaupun sudah lama berkahwin, kami tidak dikurniakan anak, lalu mendorong kami untuk mencuba rawatan berkenaan," katanya yang tidak mampu menahan sebak selepas memberi penghormatan terakhir kepada mendiang isterinya, semalam.

Katanya, sebelum melakukan rawatan itu, mereka pernah menjalani pemeriksaan kesihatan di sebuah klinik swasta di ibu negara dan disahkan sihat sepenuhnya serta tidak mempunyai sebarang penyakit.

"Malah doktor yang membuat pemeriksaan kepada kami itu turut memberi galakan supaya melakukan rawatan berkenaan dan dengan perasaan teruja kami nekad melakukannya di HTAA di sini.

"Proses rawatan berkenaan bermula 26 Oktober lalu dan segala-galanya berjalan lancar, malah isteri kelihatan gembira apabila harapan kami mendapatkan anak bakal tercapai," katanya.

Bagaimanapun, Tan berkata, pada 15 Disember lalu, isterinya mula mengadu sakit terutama pada bahagian perut dan keadaannya semakin tenat malah perutnya juga semakin membengkak.

"Perutnya membengkak sehingga ukuran asal pinggangnya 63.5 sentimeter (25 inci) membesar kepada 88.9 sentimeter (35 inci) malah berat badannya juga naik mendadak sebanyak 15 kilogram sehingga dia terpaksa menjalani pembedahan.

"Pembedahan dijalankan pada 25 Disember lalu bagaimanapun tidak memulihkan keadaannya sebaliknya mendiang semakin tenat dan berada dalam koma sebelum disahkan meninggal dunia.

"Pihak hospital memaklumkan kepada kami bahawa mendiang meninggal dunia akibat organ utamanya gagal berfungsi dan alasan terbabit sukar diterima memandangkan keadaannya sihat sebelum menjalani rawatan IVF," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Kesihatan negeri, Datuk Hoh Khai Mun ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit dan menegaskan akan menyiasat punca utama kematian mangsa.

"Saya sudah menerima laporan awal daripada hospital berkenaan mengenai kematian mangsa yang dikatakan mengalami komplikasi terhadap rawatan yang dijalankan ke atasnya.

"Mendiang yang mengadu sakit di bahagian abdomen ditahan di wad ketika dibawa ke HTAA pada 15 Disember lalu untuk menjalani rawatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, keadaannya yang semakin teruk menyebabkan mendiang perlu menjalani pembedahan yang agak rumit dan mengalami pendarahan teruk sepanjang pembedahan dijalankan.

"Keadaan diri mendiang semakin teruk dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas tidak sedarkan diri dan meninggal dunia selepas semua organ utamanya gagal berfungsi.

"Siasatan awal mengesan komplikasi yang berlaku mendapati mendiang menghidap ovarian hyperstimulation syndrome dan siasatan mengenainya dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematiannya," katanya.

Al-kisah...Elak hubungan dengan lelaki ARAB!

2011/01/01

BAITULMAQDIS: Sekumpulan isteri pendeta Israel menggesa gadis Yahudi tidak menjalin hubungan dengan lelaki Arab, lapor akhbar, kelmarin.

Kenyataan mereka berikutan peningkatan pengaruh golongan agama mencetuskan kebimbangan akan menyemarakkan perkauman di negara itu.

Sepucuk surat ditandatangani 27 isteri pendeta itu meminta gadis Yahudi tidak keluar dengan orang Arab, atau bekerja di tempat penduduk Arab bekerja.

Surat berkenaan menyatakan: “Ada pekerja Arab menukar nama mereka kepada nama Yahudi, daripada Yussef kepada Yossi dan Abed kepada Ami. Mereka cuba mengambil hati anda dan memberi perhatian yang diingini semua gadis.

“Mereka tahu melayan wanita, seolah-olah mereka mengambil berat terhadap anda.

“Namun sikap itu hanya sementara saja. Sebaik saja anda berada ‘di tangan’ mereka, anda tidak akan terima layanan baik dan perhatian yang anda ingini akan berubah menjadi sumpahan, siksaan dan penghinaan.”

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Ketua Cawangan Pembaharuan Agama Yahudi Israel, Rabbai Gilad Kariv bagaimanapun mengecam surat berkenaan. – Agensi

06 Januari 2011

Al-kisah...Anak bongsu Shah Iran bunuh diri!

Dunia

2011/01/06

GAMBAR fail, Ali Reza  bersama ibunya, Farah Pahlavi ketika hadir pada  upacara pengebumian Puteri  Monaco,  Prince Rainier III, di Monte Carlo pada 2005.- Foto REUTERS
GAMBAR fail, Ali Reza bersama ibunya, Farah Pahlavi ketika hadir pada upacara pengebumian Puteri Monaco, Prince Rainier III, di Monte Carlo pada 2005.- Foto REUTERS

Kematian bapa, pergolakan politik negara punca tembak diri sendiri

BOSTON: Anak bongsu Shah Iran yang digulingkan dalam revolusi 1979, Putera Ali Reza Pahlavi, 44, meninggal dunia akibat menembak dirinya sendiri di Boston selepas mengalami kemurungan berikutan kehilangan bapanya dan pergolakan politik yang berlaku di negaranya.

“Dengan perasaan amat dukacita kami ingin memaklumkan kepada semua pihak kematian Putera Ali Reza Pahlavi,” kata abang sulung putera itu Reza Pahlavi dalam laman webnya.

Beliau berkata, Ali Reza yang sedang belajar di Universiti Havard, mengalami kemurungan dan tekanan berikutan pelbagai masalah politik yang berlaku di Iran.“Seperti berjuta-juta generasi muda Iran yang amat terganggu dengan kemelut politik di tanah air tercinta, Ali menghadapi tekanan berikutan kehilangan bapa dan kakaknya dalam usia muda.

“Walaupun Ali Reza berusaha bersungguh-sungguh sejak sekian lama untuk mengatasi kesedihannya, adik kami akhirnya mengalah dan pada malam 4 Januari, beliau mengambil nyawanya sendiri, meninggalkan keluarga dan rakan rapat dengan kesedihan yang amat sangat,” kata Pahlavi.

Polis tidak dapat mengesahkan kematian putera itu tetapi sumber pihak berkuasa menyatakan: Saya boleh mengesahkan seorang lelaki dewasa berusia pertengahan 40-an ditemui mati di 141 West Newton Street di Boston.

“Beliau meninggal dunia akibat luka tembakan. Punca kematian masih disiasat, tetapi kami yakin ia bukan pembunuhan,” katanya.

Ali Reza Pahlavi, anak bongsu daripada lima orang anak Shah Iran, berhijrah ke Amerika pada usia remaja ketika Iran dilanda revolusi.

Beliau memiliki ijazah sarjana muda dari Universiti Princeton pada 1984 dan ijazah sarjana dari Universiti Columbia pada 1992,

Ali Reza yang masih bujang sedang mengambil ijazah kedoktoran di Universiti Harvard di Cambridge, Massachusetts dalam bidang philologi (kajian perkembangan bahasa) dan penyelidikan Iran Purba.

Tidak seperti abangnya, Ali Reza yang disifatkan seorang yang sensitif, setia dan bijak, menjauhi media ketika tunjuk perasaan selepas pilihan raya Iran 2009 yang dimenangi Presiden Mahmoud Ahmadinejad.

Sementara itu rakyat Iran terutama mereka yang tinggal di luar negara melahirkan rasa dukacita berikutan kematian Ali Reza dan menyifatkan ia sebagai simbol terputusnya hubungan Iran dengan era sebelum revolusi.

Agensi berita Iran bagaimanapun hanya menyiarkan laporan ringkas dengan tajuk “Anak lelaki bekas diktator membunuh diri”. – AFP

Al-kisah...Rais nafi rogol, anggap tuduhan sebagai fitnah!

MukaDepan

2011/01/06

KUALA LUMPUR: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim (atas) semalam menafikan tuduhan beliau terbabit dalam kes jenayah perkosaan pada 2007 serta semua dakwaan lain yang dilemparkan penulis blog di internet dan parti pembangkang.

Beliau berkata, dakwaan itu adalah fitnah dan wajar disiasat mengikut lunas undang-undang negara.

Katanya, beliau dan ahli keluarganya bersedia memberi sepenuh kerjasama dan akan menerima serta mematuhi sebarang keputusan hasil siasatan rasmi itu.

“Sementara siasatan dijalankan pihak berkuasa, demi keadilan dan kemanusiaan, mereka yang mengamalkan politik kotor melalui internet atau media lain wajar menghentikan sebarang spekulasi, cemuhan atau berbuat sesuatu yang mencabul budaya berpekerti baik.

“Semua tulisan, laporan, picisan, spekulasi termasuk ilustrasi foto atau gambar berhubung dakwaan salah laku atau jenayah memperkosa itu adalah bertujuan jelek, berniat jahat dan memfitnah secara fabrikasi atau rekaan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata: “Dakwaan perkosaan seperti dikarang penulis blog tiada kaitan langsung dengan dedahan yang kononnya dipanggil Wikileaks.”

Katanya, tindakan mengaitkan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sebagai tidak melayani aduan pada 2007 berkaitan kes itu adalah perbuatan “politik licik murahan yang semata-mata bertujuan mengelirukan fakta”.

Rais berkata, dengan adanya gara-gara dan perkembangan pilihan raya kecil dan umum di musim kini, isu seperti ini diolah oleh mereka itu sebagai ‘lembing rejaman’ yang diharap akan membunuh politik dan perjuangan murni kerajaan.

“Mereka menganggap pendedahan bersifat spekulasi dan tohmahan ini dapat mengalih perhatian umum terhadap kes jenayah besar seperti liwat yang membabitkan pimpinan pembangkang,” katanya.

Sejak kebelakangan ini, beberapa laman blog menyiarkan cerita yang mengaitkan Rais merogol seorang pembantu rumah pada 2007.

Sementara itu di SEREMBAN: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) membuat laporan polis berhubung dakwaan Rais terbabit dalam kejadian merogol pembantu rumah warga Indonesia, kira-kira tiga tahun lalu.

Pengerusi SAMM, Badrul Hisham Shaharin yang lebih dikenali sebagai Chegu Bard, berkata pihaknya mahu polis menyiasat dakwaan itu yang tersebar luas di internet dengan telus demi menegakkan kebenaran.

"Seseorang tidak bersalah sebelum dibuktikan bersalah. Dalam perkara ini, mangsa pertama ialah Rais kerana beliau belum dibuktikan bersalah, namun boleh dikatakan hampir semua blog dan cakap mulut sudah menyebut namanya terbabit dalam kes rogol," katanya pada sidang media di depan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, semalam.

Al-kisah...Khurafat sangat menyeramkan, menggugurkan jantung (yerrr kerrr, kang hampeh cam Jangan Pandang Belakang)!


Media Galeri

Teks oleh Syafiqah Jalal

Foto oleh Mazlan Yunos Photography

FILEM: Khurafat
PENGARAH: Syamsul Yusof
PELAKON: Syamsul Yusof, Liyana Jasmay, Sabrina Ali, Salina Saibi, Fauziah Nawi, Mariani, Nur Huda
PENERBIT: Skop Production
GENRE: Seram
Klasifikasi: 13PG
Mula Tayangan: 13 JANUARI 2011

Sekali Imbas

Tidak dinafikan filem seram pertama arahan pengarah muda, Syamsul Yusof ini sangat menyeramkan! Filem seram yang mengisahkan perjanjian terlarang serta persengkolan antara manusia yang ditionjolkan ini menggunakan teknik kesan bunyi yang berbeza dan sangat mengerunkan serta boleh bikin gugur jantung.

Ulasan Penuh

Jika sebelum ini kebanyakannya filem dari Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia ke-23,Syamsul Yusof berbentuk aksi seperti filem KL Drift, KL Gangster dan sebagainya, namun kini penonton pasti terkejut dan berpuas hati dengan percubaan pertamanya mengarahkan filem seram.

Percubaan Syamsul boleh dikatakan percubaan yang terbaik kerana dalam filem Khurafat dia menggunakan atau menonjolkan teknik bunyi, pencahayaan serta hantu yang berbeza dan lebih menggerunkan daripada cerita hantu melayu lain. Terutama sekali, sistem dolby yang digunakan sangat berkesan dan berjaya membuat penonton dikuasai oleh perasaan takut dan disulami pula oleh cahaya yang suram dan scene yang suspen.

Ia terbukti daripada awal filem ini ditayangkan sehingga tamat, panggung sentiasa bingit dengan jeritan ketakutan penonton. Bayangkan sepanjang 90 minit filem ini berlangsung, tiada ketenangan yang diperoleh. Sesuailah apabila filem ini diklasifikasikan sebagai 13PG dan ibu mengandung serta yang ada penyakit jantung disarankan untuk tidak menonton filem ini.

Khurafat berjaya menjelmakan elemen seram dan jalan cerita yang menarik daripada pengarah muda berbakat ini. Biarpun baru pertama kali mengarahkan filem genre seram, namun hasilnya sungguh memberangsangkan. Tidak perlu adegan seksi melampau atau dialog yang sengaja mencetuskan kontroversi, Syamsul nyata bijak memanipulasi setiap elemen di dalam filem ini.

Selain itu, jalan ceritanya yang penuh suspen itu membuatkan ramai penonton tidak dapat menyangka bagaimana pengakhiran ceritanya kerana tekaan penonton pada permulaan ceritanya pasti berbeza atau tidak sama apabila lihat bagaimana cerita ini ditamatkan.

Namun dari segi lakonan, Syamsul ini masih lagi berada ditahap common dan seperti kita sudah jangkakan cara dia bercakap dan perwatakannnya kerana hampir semua filem yang dilakonkannya karakternya masih sama dan tidak ada banyak bezanya. Cuma kali ini Syamsul tidak lagi berpakaian segak seperti orang-orang kaya serta membawa kereta mewah dan bekerjaya.

Manakala lakonan Liayana Jasmay kali ini sangat tidak menonjol dan boleh dikatakan wataknya biasa-biasa sahaja. Cuma dia berpenampilan berbeza dengan bertudung dan menjadi isteri kepada Syamsul. Dalam usianya, bagi penulis dia tidak sesuai memegang watak sebagai seorang isteri. Mungkin wataknya kali ini lebih limited dan tak banyak yang boleh dilakukan dalam filem ini.

Anatara pelakon yang patut dipuji pula adalah Sabrina Ali. Dia yang membawa watak sebagai Anna, bekas kekasih Johan yang menyimpan dendam berperwatakan seorang yang sangat psycho itu sangat berbeza dan berkesan. Dalam filem ini penulis boleh katakan watak Sabrina Ali sangat menonjol dan berkesan kepada penonton.

Terdapat scene yang seram yang jarang filem-filem seram tonjolkan antaranya Syamsul mendukung jenazah yang sudah dikapankan di tengah hutan waktu malam dan juga sewaktu Sabrina dimandikan serta diletakkan dalam peti mayat. Sabrina juga akui ia satu pengalaman yang sangat mengerikan dan berharga buatnya.

Sebagai pengarah, Syamsul pasti tidak lepas dari menggunakan aksi-aksi stunt dalam filemnya. Jika dalam filem KL Drift dia menggunakan kereta lumba sebenar untuk scene kemalangan, begitu juga dalam filem ini kerana dia ada menyelitkan scene kemalangan van jenazah jatuh ke dalam gaung bersama pemandu dan jenazah.

Sinopsis

Khurafat mengisahkan perjanjian terlarang antara manusia dan syaitan. Manusia sebagai insan yang lemah, membelakangkan Allah untuk memperoleh apa yang dicita walau dengan apa cara, akhirnya hanyut dengan tipu daya syaitan.

Kisah bermula dengan Johan (Syamsul Yusof), seorang pembantu perubatan di sebuah hospital berkahwin dengan Ayshah (Liyana Jasmay). Seawalnya, pasangan ini hidup aman dan bahagia, namun tanpa disangka ujian melanda di pertengahan jalan, kesan daripada gangguan misteri yang berterusan.

Tanda tanya dan trauma yang melanda ditambah dengan munculnya bekas teman wanita Johan, Anna (Sabrina Ali). Walaupun mengetahui Johan sudah berumahtangga dan bergelar suami yang sah kepada Ayshah, Anna masih terus mengganggi dan merayu Johan menerimanya semula. Setelah ditolak cintanya, Anna ditemui mati akibat bunuh diri. Kematian Anna adalah kemuncak bagi segala siri kejadian misteri yang berlaku dalam hidup Johan dan isterinya.

Saksikan kesudahan serta kelainan filem seram arahan Syamsul ini yang bakal berada di seluruh pawagam bermula 13 Januari 2011.