26 Ogos 2010

Al-kisah...Balu Achik Spin terkilan!


Balu Achik Spin terkilan

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

2010/08/26

EMPAT bulan berlalu mungkin tidak meninggalkan apa-apa kesan kepada kebanyakan kita.

Namun buat H M Rose Zaitul Suriani Wati Maarof dan dua anaknya, Putri Nur Safiyya, 2, dan Putri Nur Sumayya, 1, tempoh itu begitu menyeksakan.


Ini kerana Rose Zaitul atau Tasha kehilangan insan tersayang, Allahyarham Abdillah Murad Md Shari atau Achik Spin dalam kemalangan di Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) pada 17 April lalu . Rasa sedih kehilangan suami yang menjadi tonggak keluarga dipendam sendirian. Tasha kini gigih mengharungi hidup dengan dua permata hati yang ditatang seperti minyak yang penuh. Kehidupan Tasha, 29, sangat biasa. Keadaan dalam rumahnya cukup ringkas tanpa sebarang perabot mewah. Apa yang penting baginya ada rumah untuk terus berlindung daripada panas dan hujan.

"Saya tidak bekerja kerana anak-anak saya masih kecil dan trauma. Mereka tidak mahu duduk dengan orang lain dan akan menangis tak henti-henti kalau ditinggalkan. "Ke mana-mana saya pergi, saya perlu bawa mereka sekali. Saya pernah cuba tinggalkan mereka dengan ibu saya selama tiga jam dan tiga jam jugalah mereka menangis sampai muka menjadi biru.

"Kami pindah ke sini seminggu sebelum arwah Achik meninggal. Ini rumah ibu saya dan ibu saya tinggal di sebelah. Masa dalam pantang pun arwah Achik yang jaga anak-anak, mandikan mereka, semuanya dia buat. Itulah yang susah apabila arwah hilang secara mengejut kerana anak-anak terlalu rapat dengannya. "Anak kedua saya lebih trauma dengan pemergian ayah mereka. "Ini kerana arwah cakap dia nak keluar sekejap dan mahu ambil kami keluar makan di luar. Tapi arwah pergi dan tidak balik-balik, buat selama-lamanya. "Itulah puncanya Nur Sumayya tak mahu berenggang langsung dengan saya kerana dia takut saya pula tak balik nanti," katanya dalam nada sayu.

Selain bergelar artis syarikat rakaman FMC ketika hayatnya, Achik juga berjinak-jinak dengan dunia perniagaan apabila menubuhkan syarikat penerbitan Spire Spin dengan abangnya. Selepas pemergiannya, albumnya menjadi buruan peminat. Malah, FMC turut menerbitkan sebuah album koleksi khas lagu Achik yang mendapat sambutan hangat.

Bagaimanapun, terdetik rasa terkilan di hati Tasha kerana tiada seorang pun wakil dari syarikat rakaman itu memberitahu perkembangan terkini album itu dan hasil yang diperoleh mereka jika ada. Malah, walaupun sudah memasuki pertengahan Ramadan, belum ada wakil FMC yang bertanya khabar berita.

"Saya sangka mungkin ada hasil royalti jualan album arwah. Saya cadang nak pergi ke pejabat FMC dengan ibu mentua saya (Badariah Awaluddin) untuk dapatkan gambaran sebenar perkara ini. "Saya terkilan juga dengan sikap mereka. Apa salahnya mereka telefon sekurang-kurangnya untuk bertanya khabar dan persiapan untuk sambut Aidilfitri.

"Nasib baiklah kerana ini rumah ibu saya sendiri, kami tak terikat dengan hutang bank. Rezeki peninggalan arwah pun masih ada lagi buat anak-anak. Adalah sikit duit simpanan buat mereka. "Kami lalui hidup dengan sederhana saja. Saya pun belum sempat beli pakaian hari raya anak-anak sebab susah nak bawa mereka sebab asyik minta didukung," katanya.

Tasha yang mempunyai saudara kembar pernah bekerja di bahagian khidmat pelanggan bersama Astro. Dia merancang untuk bekerja semula selepas Aidilfitri nanti dan berhasrat menjadi ejen insurans.

"Jual insurans mungkin lebih sesuai kerana saya masih ada masa dengan anak-anak," katanya yang pernah kehilangan anak sulung, Putri Rania kerana demam panas dan masalah usus.

Tiada ulasan: