Memaparkan catatan dengan label Pesan Rasulullah SAW. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pesan Rasulullah SAW. Papar semua catatan

04 Januari 2011

Al-kisah...Perkara yang wajib dijauhi!

B113

Rasulullah SAW telah bersabda;

" Barang siapa yang bangun di waktu pagi sambil bersungut kerana kesusahan hidup, maka seolah-olah ia bersungut kerana perbuatan Tuhannya.

Barang siapa menjadi sedih kerana perkara-perkara dunia berertidia telah marah kepada Allah SWT.

Dan Barang siapa merendahkan dirinya kepada orang kaya kerana kekayaannya, maka telah hilang dua pertiga agamanya. "

30 Ogos 2010

Al-kisah...Pesanan kepada Abu Zar!

http://sphotos.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-snc3/hs180.snc3/20755_105767489441793_100000256284974_154296_4936937_n.jpg

Abul Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Abu Dzar r.a. berkata;

”Saya dipesan oleh junjunganku Nabi Muhammad SAW, tujuh macam yang tidak sampai saya tinggalkan dan tidak akan saya tinggal semua itu iaitu;

  • Saya dipesan supaya suka kepada orang-orang miskin dan mendekati mereka.
  • Saya dipesan supaya selalu melihat kepada orang-orang yang di bawahku dan tidak melihat pada orang-orang yang di atasku.
  • Saya dipesan supaya tetap menghubungi kaum kerabat meskipun mereka jauh dan dekat, jangan memutuskan hubungan dengan mereka.
  • Saya dipesan supaya memperbanyakkan membaca: Laa haula walaa quwwata illa billahi, kerana itu sebagai perbendaharaan kebaikan atau khazanah segala kebaikan.
  • Saya dipesan supaya jangan minta apapun dari sesama manusia, tetapi mohonlah kepada Allah SWT.
  • Saya dipesan supaya jangan takut didalam melaksanakan hukum Allah SWT dari cela (ejekan) orang-orang yang mengejek.
  • Saya dipesan supaya selalu berkata benar meskipun pahit dan berat.

23 Ogos 2010

Al-kisah...Bilal & Nabi Muhammad SAW!

Bilal telah ditanya mengenai perbelanjaan Nabi Muhammad SAW. Dia menjawab;

”Baginda SAW tidak pernah menyimpan sesuatu untuk kegunaan pada masa depan. Sayalah yang menguruskan wang bagi pihaknya. Apabila datang seorang fakir yang sedang menderita kelaparan, orang itu akan diserahkannya kepada saya. Saya pun akan memenuhi keperluan orang itu dengan meminjamkan wang.”

"Pada suatu hari datang seorang mushrik lalu berkata;

“Wang saya terlampau banyak. Kalau kamu berkehendakkan wang datanglah berjumpa dengan saya. Janganlah meminjam dari orang lain.”

“Saya berasa gembira dengan tawaran ini. Saya pun mulai meminjam wangnya untuk memenuhi keperluan Nabi Muhammad SAW. Pada suatu hari selepas mengambil wudhu, saya sedang bersiap-siap untuk berazan, tiba-tiba datang orang mushrik itu diikuti oleh beberapa orang lain. Dia memekik-mekik memanggil saya, apabila saya mendapatkannya, dia telah mengeluarkan kata-kata yang kesat terhadap saya."

Katanya;

“Ada beberapa hari lagi dalam bulan ini?” Saya menjawab; "Bulan ini hampir genap.” Dengan marahnya dia berkata; “Ada empat hari lagi untuk kamu menyelesaikan hutang-hutang kamu. Kalau kamu gagal menjelaskannya, aku akan jadikan kamu hambaku dan kamu terpaksa mengembala kambing seperti dahulu.” Kemudian dia pun meninggalkan saya. Saya merasa sangat dukacita. Selepas sembahyang Isyak, apabila Nabi Muhammad SAW duduk berseorangan, saya pun mendekati Baginda SAW. Kata saya; “Ya Rasulullah ,Tuan tidak mempunyai sesuatu apa pun dan saya pula tidak dapat menguruskan pinjaman serta merta. Saya rasa si-mushrik itu akan memalukan saya. Oleh itu saya akan pergi dari sini sehingga saya mendapat wang untuk menjelaskan hutang saya itu.”

Sekembali saya ke rumah, saya mengemaskan pedang, perisai dan kasut kepunyaan saya kerana bersiap-siap untuk berpergian pada pagi esoknya. Hampir-hampir waktu Subuh datang seorang utusan Nabi Muhammad SAW sambil berkata; “Lekas, Nabi Muhammad SAW ingin berjumpa dengan engkau.” Saya pun segeralah berangkat ke masjid. Disana saya dapati empat ekor unta yang sarat dengan bebanan. Kata Nabi Muhammad SAW; ”Ada berita gembira, wahai Bilal. Allah SWT telah meyampaikan pengurniaanNya untuk menjelaskan hutangmu. Ambillah unta-unta ini serta muatan mereka. Barang-barang ini telah dihantar kemari sebagai hadiah untuk ku oleh puak Fidak.” Saya mengucapkan syukur kepada Allah. lalu menjelaskan semua hutang saya. Apabila saya balik kemasjid saya berkata kepada Nabi Muhammad SAW ;”Alhamdulillah, hutang saya telah pun dijelaskan Ya Rasulullah Baginda SAW bertanya sama ada masih ada yang tertinggal dan saya menjawab;”Ya Rasulullah,” Baginda SAW meminta saya habiskannya dan Baginda SAW mengatakan yang Baginda SAW tidak akan balik ke rumah selagi barang tersebut masih ada.”

Saya pun pergilah untuk membahagi-bahagikan baki barang-barang yang masih tinggal kepada fakir miskin. Selepas Isyak, Nabi Muhammad SAW bertanya kalau-kalau masih ada lagi barang-barang itu. Saya menjawab mengatakan yang tidak ada lagi kerana terdapat ramai fakir miskin untuk dibahagi-bahagikan barang-barang tersebut. Pada malam itu Rasulullah SAW tidur di masjid. Esoknya itu,selepas Isyak, Rasulullah SAW bertanya lagi tentang berang-barang itu. Saya berkata; ”Ya, Allah telah memberkati Tuan dengan ketenteraman jiwa. Semua barang-barang itu telah saya habiskan. Nabi Muhammad SAW pun memuji-muji Allah SWT. Pada malam itu barulah Baginda SAW balik ke rumah. Nabi Muhammad SAW tidak suka menghadapi maut selagi ada harta kekayaan di tangannya.

03 Ogos 2010

Al-kisah...Dialog Rasulullah SAW vs Iblis!

Allah SWT telah memerintahkan seorang Malaikat berjumpa Iblis supaya dia berjumpa dengan Rasulullah SAW untuk memberitahu segala rahsianya; samada yang disukai mahupun yang dibencinya. Hikmatnya ialah untuk meninggikan darjat Nabi Muhammad SAW dan juga sebagai peringatan dan perisai kepada umat manusia.

Maka Malaikat itu pun berjumpa Iblis dan berkata;

“Hai Iblis! Bahawa Allah Yang Maha Mulia dan Maha Besar menyuruh engkau menghadap ke hadrat Rasullullah SAW. Hendaklah engkau buka segala rahsia engkau dan apa-apa yang disoal oleh Rasulullah hendaklah engkau jawab dengan sebenar-benarnya. Jikalau engkau berdusta walau satu perkataan pun, nescaya akan diputuskan segala suku-suku anggota badanmu, uratmu serta disiksa dengan azab yang amat keras”

Demi mendengar sahaja kata Malaikat yang dahsyat itu, Iblis sangat ketakutan. Maka segeralah dia menghadap Rasulullah SAW dengan menyamar sebagai seorang tua yang buta sebelah matanya dan berjanggut putih 10 helai; panjangnya seperti ekor lembu. Iblis pun memberi salam, sehingga 3 kali tidak juga dijawab oleh Rasulullah SAW. Maka sembah Iblis;

"Ya Rasulullah! Mengapa tuan hamba tidak mejawab salam hamba? Bukankah salam itu sangat mulia di sisi Allah?”

Maka jawab Nabi dengah marah;

“Hai Aduwullah seteru Allah! Kepada aku engkau menunjuk baikmu? Jangan engkau cuba hendak tipu aku sebagimana engkau tipu Nabi Adam AS sehingga keluar dari syurga . Habil mati teraniaya dibunuh Qabil dengan sebab hasutan engkau, Nabi Ayub engkau tiup dengan asap racun ketika dia sedang sujud sembahyang hingga dia sengsara beberapa lama, kisah Nabi Daud dengan perempuan Urya, Nabi Sulaiman meninggalkan kerajaannya kerana engkau menyamar sebagai isterinya dan begitu juga beberapa Anbiya dan pendita yang telah menanggung sengsara akibat hasutan engkau. Hai Iblis! Sebenarnya salam itu sangat mulia di sisi Allah azza wajalla, cuma salam engkau saja aku tidak hendak menjawabnya kerana diharamkan Allah. Maka aku kenal baik-baik engkaulah Iblis, raja segala iblis, syaitan dan jin yang menyamar diri. Apa kehendak engkau datang berjumpa aku?”

Sembah Iblis;

”Ya Nabi Allah! Janganlah tuan hamba marah. Kerana tuan adalah Khatamul Anbiya maka tuan dapat kenal akan hamba. Kedatangan hamba adalah disuruh Allah untuk memberitahu segala tipu daya hamba terhadap umat tuan dari zaman Nabi Adam hingga akhir zaman. Ya Nabi Allah! Setiap apa yang tuan tanya hamba sedia menerangkan satu persatu dengan sebenarnya, tiadalah hamba berani sembunyikan.”

Maka Iblis pun bersumpah menyebut nama Allah dan berkata;

“Ya Rasulullah! Sekiranya hamba berdusta barang sepatah pun nescaya hancur leburlah badan hamba menjadi abu.”

Apabila mendengar sumpah Iblis itu, Nabi pun tersenyum dan berkata dalam hatinya, inilah satu peluang aku untuk menyiasat segala perbuatannya agar didengar oleh sekelian sahabat yang ada di majlis ini dan menjadi perisai kepada sekelian umatku.

Soalan Nabi (1) – “Hai Iblis! Siapakah sebesar-besar musuh engkau dan bagaimana aku terhadap engkau?”

Jawab Iblis – “Ya Nabi Allah! Tuanlah musuh hamba yang paling besar di antara segala musuh hamba di muka bumi ini” Maka Nabi pun memandang muka Iblis, dan Iblis pun mengeletar kerana ketakutan. Sambung Iblis,”Ya Khatamul Anbiya! Adapun hamba dapat merupakan diri hamba seperti sekelian manusia, binatang dan lain-lain hingga rupa dan suara pun tidak salah sepertinya, kecuali diri tuan sahaja yang tidak dapat hamba tiru kerana ditegah oleh Allah. Kiranya hamba menyerupai diri tuan, maka terbakarlah diri hamba menjadi abu. Hamba cabutkan iktikad anak Adam supayamenjadi kafir kerana tuan berusaha memberi nasihat dan pengajaran supaya mereka kuat untuk memeluk agama Islam; begitu jugalah hamba berusaha menarik mereka kepada kafir, murtad atau munafik. Hamba akan tarik sekelianumat Islam dari jalan benar kepada jalan yang salah supaya masuk ke dalam neraka dan kekal di dalamnya bersama hamba.”

Soalan Nabi ke 2 – “Hai Iblis! Betapa perbuatanmu kepada makhluk Allah

Jawab Iblis – “Adalah satu kemajuan bagi perempuan yang merenggangkan kedua pehanya kepada lelaki yang bukan suaminya, setengahnya hingga mengeluarkan benih yang salah sifatnya. Hamba goda segala manusia supaya meninggalkan sembahyang, leka dengan makan minum, berbuat durhaka, hamba lalaikan dengan harta benda drp emas, perak dan permata, rumahnya, tanahnya, ladangnya supaya hasilnya dibelanjakan kejalan haram. Demikian juga ketika temasya yang bercampur lelaki perempuan. Di situ hamba lepaskan sebesar-besar godaan supaya hilang maruah dan minum arak. Apabila terminum arak itu maka hilanglah akal, fikiran dan malunya. Lalu hamba hulurkan tali cinta dan terbukalah beberapa pintu maksiat yang besar, datang perasaan hasad dengki hingga kepada pekerjaan zina. Apabila terjadi kasih antara mereka, terpaksalah mereka mencari wang hingga menjadi penipu, peminjam dan pencuri. Apabila mereka teringat akan salah mereka lalu hendak bertaubat atau amal ibadat, hamba akan galang mereka supaya mereka menangguhkannya. Bertambah keras hamba goda supaya menambahkan maksiat dan mengambil isteri orang. Bila kena goda hatinya, datanglaah rasa riak, takbur, megah, sombong dan melengahkan amalnya. Bila pada lidahnya, mereka akan gemar berdusta, mencela dan mengumpat. Demikianlah hamba goda mereka setiap saat.”

Soalan Nabi ke 3 – “Hai Iblis! Mengapa engkau bersusah payah dan berpenat melakukan pekerjaan yang tidak mendatangkan faedah bahkan menambahkan laknat yang besar serta siksa yang besar di neraka yang paling bawah? Hai kutuk Allah! Siapa yang menjadikan engkau? Siapa yang melanjutkan usia engkau? Siapa yang menerangkan mata engkau? Siapa yang memberi pendengaran engkau? Siapa yang memberi kekuatan anggota badan engkau?”

Jawab Iblis – “Sekelian itu adalah anugerah drp Tuhan Yang Maha Besar juga. Tetapi hawa nafsu dan takbur menceburkan hamba menjadi sebesar-besar jahat. Tuan lebih tahu bahawa hamba telah beribu-ribu tahun menjadi ketua kepada sekelian Malaikat dan pangkat hamba telah dinaikkan dari satu langit ke satu langit yg tinggi. Kemudian hamba tinggal di dunia ini beribadat bersama sekelian Malaikat beberapa lama. Tiba-tiba datang firman Allah SWT hendak menjadikan seorang Khalifah di dunia ini, maka hamba pun membantah. Lalu Allah mencipta lelaki (Nabi Adam) lalu dititahkan sekelian Malaikat memberi hormat kepada lelaki itu, kecuali hamba yang ingkar. Oleh itu Allah murka kepada hamba dan muka hamba yang cantik molek dan bercahaya itu bertukar menjadi keji dan hodoh. Hamba berasa sakit hati. Kemudian Allah menjadikan Adam raja di syurga dan dikurniakan seorang permaisuri (Siti Hawa) yg memerintah sekelian bidadari. Hamba bertanbah dengki dan berdendam kepada mereka. Akhirnya dapat juga hamba tipu melalui Siti Hawa yang menyuruh Adam memakan buah Khuldi, lalu keduanya dihalau dari syurga ke dunia. Kedua mereka berpisah beberapa tahun dan kemudian dipertemukan Allah (di Padang Arafah), hingga mereka mendapat beberapa orang anak. Kemudian kami hasut anak lelakinya Qabil supaya membunuh saudaranya Habil. Itu pun hamba masih tidak puas hati dan berbagai tipu daya hamba lakukan hingga Hari Kiamat. Sebelum tuan lahir ke dunia, hamba serta bala tentera hamba dengan mudah dapat naik ke langit untuk mencuri segala rahsia serta tulisan yg menyuruh manusia berbuat ibadat serta balasan pahala dan syurga mereka. Kemudian hamba turun ke dunia, dan memberitahu manusia yang lain daripada apa yang sebenarnya hamba dapat, dgn berbagai tipu daya hingga tersesat dengan berbagai kitab bidaah dan karut-marut. Tetapi apabila tuan lahir sahaja ke dunia ini, maka hamba tidak dibenarkan oleh Allah untuk naik ke langit serta mencuri rahsia, kerana banyak Malaikat yang menjaga di setiap lapisan pintu langit. Jika hamba berkeras juga hendak naik, maka Malaikat akan melontar dengan anak panah drp api yang menyala. Sudah banyak bala tentera hamba yang terkena lontaran Malaikat itu dan semuanya terbakar menjadi abu. Maka besarlah kesusahan hamba dan tentera hamba untuk menjalankan tugas hasutan.”

Soalan Nabi ke 4 – “Hai Iblis! Apakah yang pertama engkau tipu akan manusia?”

Jawab Iblis – “Pertama sekali hamba palingkan iktikadnya imannya kepada kafir sama ada dari segi perbuatan, perkataan, kelakuan atau hatinya. Jika tidak berjaya juga, hamba akan tarik dengan cara mengurangkan pahala. Lama-kelamaan mereka akan terjerumus mengikut kemahuan jalan hamba”

Soalan Nabi ke 5 – “Hai Iblis! Jika umatku sembahyang kerana Allah, bagaimana hal engkau?”

Jawab Iblis – “Sebesar-besar kesusahan kepada hamba. Gementarlah badan hamba dan lemah tulang sendi hamba. Maka hamba kerahkan berpuluh-puluh iblis datang menggoda seorang manusia, pada setiap anggota badannya. Setengah-setengahnya datang pada setiap anggota badannya supaya malas sembahyang, was-was, terlupa bilangan rakaatnya, bimbang pada pekerjaan dunia yang ditinggalkannya, sentiasa hendak cepat habis solat, hilangkan khusyuknya – matanya sentiasa menjeling ke kiri kanan, telinganya sentiasa mendengar orang brcakap serta bunyi-bunyi yang lain. Setengah Iblis duduk di belakang badan orang yang sembahyang itu supaya dia tidak kuasa sujud lama-lama, penat atau duduk tahiyat dan dalam hatinya sentiasa hendak cepat habis sembahyang, itu semua membawa kpd kurang pahala. Jika para Iblis itu tidak dapat menggoda manusia itu, maka hamba sendiri akan menghukum mereka dengan seberat-berat hukuman”

Soalan Nabi ke 6 – “Jika umatku membaca Al-Quran kerana Allah, apalah rasa engkau?”

Jawab Iblis – “Jika mereka membaca Al-Quran kerana Allah, maka rasa terbakarlah tubuh hamba, putus-putus segala urat hamba lalu hamba lari daripadanya.”

Soalan Nabi ke 7 – “Jika umatku mengerjakan haji kerana Allah, bagaimana rasa engkau?”

Jawab Iblis – “Binasalah diri hamba, gugurlah daging dan tulang hamba kerana mereka telah mencukupkan rukun Islamnya”

Soalan Nabi ke 8 – “Jika umatku berpuasa kerana Allah, bagaimana hal engkau?”

Jawab Iblis – “Ya Rasulullah! Inilah bencana yang paling besar bahayanya kepada hamba. Apabila masuk awal bulan Ramadhan, maka memancarlah cahaya Arasy dan Kursi, bahkan sekalian Malaikat menyambut dengan kesukaan. Bagi orang yang berpuasa, Allah akan mengampunkan segala dosa yang lalu dan digantikan dengan pahala yang amat besar serta tidak dicatatkan dosanya selama dia berpuasa. Yang menhancurkan hati hamba ialah segala isi langit dan bumi; yakni Malaikat, bulan, bintang, burung dan ikan-ikan semuanya siang malam mendoakan keampunan orang yang berpuasa. Satu lagi kemuliaan orang berpuasa ialah dimerdekakan pada setiap masa dari azab neraka. Bahkan semua pintu neraka ditutup manakala semua pintu syurga dibuka seluas-luasnya, serta dihembuskan angin dari bawah Arasy yang bernama Angin Syirah yang amat lembut ke dalam syurga. Pada hari umat tuan mula berpuasa, dengan perintah Allah datanglah sekelian Malaikat dengan garangnya menangkap hamba dan tentera hamba; jin, syaitan dan ifrit lalu dipasung kaki dan tangan dengan besi panas dan dirantai serta dimasukkan ke bawah bumi yang amat dalam. Di sana pula beberapa azab yang lain telah menunggu kami.

Setelah habis umat tuan berpuasa barulah hamba dilepaskan dengan amaran agar tidak mengganggu umat tuan. Umat tuan sendiri telah merasa ketenangan berpuasa seperti mana mereka bekerja dan bersahur seorang diri di tengah malam tanpa rasa takut berbanding bulan biasa.”

Soalan Nabi ke 9 – “Hai Iblis! Bagaimana sekalian sahabatku kepada engkau?”

Jawab Iblis – “Sekalian sahabat tuan hamba juga adalah sebesar- besar seteru hamba. Tiada upaya hamba melawannya dan tiada satu tipu daya yang dapat masuk kepada mereka. Kerana tuan sendiri telah berkata yang “Sekalian sahabatku adalah seperti bintang di langit, jika kamu mengikut mereka, maka kamu akan mendapat petunjuk.” Saidina Abu Bakar al-Siddiq sebelum bersama tuan lagi, hamba tidak dapat hampir kepadanya inikan pula setelah berdamping dengan tuan. Beliau begitu percaya atas kebenaran tuan hingga dia menjadi wazirul a’zam. Bahkan tuan sendiri telah mengatakan jika ditimbang sekelian isi dunia ini dengan amal kebajikan Abu Bakar, maka akan lebih berat amal kebajikan Abu Bakar. Tambahan pula dia telah menjadi mertua tuan kerana tuan berkahwin dengan anaknya, Saiyidatina Aisyah yang juga banyak menghafaz hadis tuan. Saidina Umar Al-Khattab pula tidaklah berani hamba pandang akan wajahnya kerana dia sangat keras menjalankan hukum syariat Islam dengan saksama. Jika hamba pandang wajahnya, maka gementarlah segala tulang sendi hamba kerana sangat takut. Ini kerana imannya sangat kuat apalagi tuan telah mengatakan, “JIKALAU adanya Nabi sesudah aku maka Umar boleh menggantikan aku” kerana dia adalah orang harapan tuan serta pandai membezakan antara kafir dan Islam hingga digelar ‘Al-Faruq’. Saidina Usman Al-Affan lagi hamba tidak boleh hampir, kerana lidahnya sentiasa bergerak membaca Al-Quran. Dia penghulu orang sabar, penghulu orang mati syahid dan menjadi menantu tuan sebanyak dua kali. Kerana taatnya, banyak Malaikat datang melawat dan memberi hormat kepadanya kerana Malaikat itu sangat malu kepadanya hingga tuan mengatakan,”Barang siapa menulis Bismillahir rahmanir rahim pada kitab atau kertas-kertas dengan dakwat merah, nescaya mendapat pahala seperti pahala Usman mati syahid” Saidina Ali Abi Talib pun itu hamba sangat takut kerana hebatnya dan gagahnya dia di medan perang, tetapi sangat bersopan, alim orangnya. Jika iblis, syaitan dan jin memandang beliau, maka terbakarlah kedua mata mereka kerana dia sangat kuat beribadat serta beliau adalah budak pertama memeluk agama Islam dan tidak pernah menunduk kan kepalanya kepada sebarang berhala. Digelar ‘Ali Karamullahu Wajhahu’ – dimuliakan Allah akan wajahnya dan juga ‘Harimau Allah’ dan tuan sendiri berkata “Akulah negeri segala ilmu dan Ali itu pintunya”. Tambahan pula dia menjadi menantu kepada tuan, lagilah hamba ngeri kepadanya.

Soalan Nabi ke 10 – “Bagaimana tipudaya engkau kepada umatku?”

Jawab Iblis – “Umat tuan itu ada tiga macam. Yang pertama seperti hujan dari langit yang menghidupkan segala tumbuhan iaitu ulama yang memberi nasihat kepada manusia supaya mengerjakan perintah Allah serta meninggalkan laranganNya seperti kata Jibrail a.s “Ulama itu adalah pelita dunia dan pelita akhirat” Yang kedua umat tuan seperti tanah iaitu orang yang sabar, syukur dan redha dengan kurniaan Allah. Berbuat amal soleh, tawakal dan kebajikan. Yang ketiga umat tuan seperti Firaun; terlampau tamak dengan harta dunia serta dihilangkan amal akhirat. Maka hamba pun sukacita lalu masuk ke dalam badannya, hamba putarkan hatinya ke lautan derhaka dan hamba hela ke mana sahaja mengikut kehendak hamba. Jadi dia sentiasa bimbang kpd dunia dan tidak hendak menuntut ilmu, tiada masa beramal ibadat, tidak hendak mengeluarkan zakat, miskin hendak beribadat. Lalu hamba godanya minta kaya dulu, dan apabila diizinkan Allah dia menjadi kaya, maka dilupakan beramal, tidak berzakat seperti Qarun yang tenggelam dengan istana mahligainya. Bila umat tuan terkena penyakit tidak sabar dan tamak, dia sentiasa bimbang akan hartanya dan setengahnya asyik hendak merebut dunia harta, cakap besar sesama Islam, benci dan menghina kepada yang miskin, membelanjakan hartanya untuka jalan maksiat, tempat judi dan perempuan lacur”

Soalan Nabi ke 11 – “Siapa yang serupa dengan engkau?”

Jawab Iblis – “Orang yang meringankan syariat tuan hamba dan membenci orang belajar agama Islam”

Soalan Nabi ke 12 – “ Siapa yang mencahayakan muka engkau?

Jawab Iblis – “Orang yang berdosa, bersumpah bohong, saksi palsu, pemungkir janji”

Soalan Nabi ke 13 – “Apakah rahsia engkau kepada umatku?

Jawab Iblis – Jika seorang Islam pergi buang air besar serta tidak membaca doa pelindung syaitan, maka hamba gosok-gosokkan najisnya sendiri ke badannya tanpa dia sedari”

Soalan Nabi ke 14 – “Jika umatku bersatu dengan isterinya, bagaimana hal engkau?

Jawab Iblis – “Jika umat tuan hendak bersetubuh dengan isterinya serta membaca doa pelindung syaitan, maka larilah hamba dari mereka. Jika tidak hamba akan bersetubuh dahulu dengan isterinya, dan bercampurlah benih hamba dengan benih isterinya. Jika menjadi anak maka anak itu akan gemar kepada pekerjaan maksiat, malas pada kebaikan, durhaka. Ini semua kerana kealpaan ibu bapanya sendiri. Begitu juga jika mereka makan tanpa Bismillah, hamba yang dahulu makan daripadanya. Walaupun mereka makan, tiadalah rasa kenyang.”

Soalan Nabi ke 15 – “Dengan jalan apa boleh menolak tipu daya engkau?

Jawab Iblis – “Jika dia berbuat dosa, maka dia kembali bertaubat kpd Allah, menangis kesal akan perbuatannya. Apabila marah segeralah mengambil air sembahyang, maka padamlah marahnya.”

Soalan Nabi ke 16 – “Siapakah orang yang paling engkau lebih suka?”

Jawab Iblis – “Lelaki dan perempuan yang tidak mencukur atau mencabut bulu ketiak atau bulu ari-ari(bulu kemaluan) selama 40 hari. Di situ lah hamba mengecilkan diri, bersarang, bergantung, berbuai seperti pijat pada bulu itu”

Soalan Nabi ke 17 – “Hai Iblis! Siapakah saudara engkau?”

Jawab Iblis – “Orang yang tidur meniarap, orang yang matanya celik di waktu subuh tetapi menyambung tidur semula. Lalu hamba ulit dia lena hingga terbit fajar. Demikian jua pada waktu zohor, asar, maghrib dan isyak, hamba beratkan hatinya untuk solat”

Soalan Nabi ke 18 – “Apakah jalan yang membinasakan diri engkau?”

Jawab Iblis – “Orang yg banyak menyebut nama Allah, bersedekah dengan tidak diketahui orang, banyak bertaubat, banyak tadarus Al-Quran dan solat tengah malam”

Soalan Nabi ke 19 – “Hai Iblis! Apakah yang memecahkan mata engkau?”

Jawab Iblis – “Orang yang duduk di dalam masjid serta beriktikaf di dalamnya”

Soalan Nabi ke 20 – “Apa lagi yang memecahkan mata engkau?”

Jawab Iblis -“Orang yang taat kepada kedua ibubapanya, mendengar kata mereka, membantu makan-pakai mereka selama mereka hidup, kerana tuan telah bersabda,'Syurga itu di bawah tapak kaki ibu’ “

Wallahualam...

17 Julai 2010

Al-kisah...Tentang wanita!

1. Doa perempuan lebih makbul daripada lelaki kerana sifat penyayang yang lebih kuat daripada lelaki. Ketika ditanya kepada Rasulullah SAW akan hal tersebut, jawab baginda;

"Ibu lebih penyayang daripada bapa dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia."

2. Apabila seseorang perempuan mengandung janin dalam rahimnya, maka beristighfarlah para malaikat untuknya. Allah mencatatkan baginya setiap hari dengan 1000 kebajikan dan menghapuskan darinya 1000 kejahatan.

3. Apabila seseorang perempuan mulai sakit hendak bersalin, maka Allah mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah.

4. Apabila seseorang perempuan melahirkan anak, keluarlah dia dari dosa-dosa seperti keadaan ibunya melahirkannya.

5. Apabila telah lahir anak lalu disusui, maka bagi ibu itu setiap satu tegukkan daripada susunya diberi satu kebajikan.

6. Apabila semalaman ibu tidak tidur dan memelihara anaknya yang sakit, maka Allah memberinya pahala seperti memerdekakan 70 hamba dengan ikhlas untuk membela agama Allah.

7. Barangsiapa yang menggembirakan anak perempuannya, darjatnya seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah dan orang yang takutkan Allah, akan diharamkan api neraka ke atas tubuhnya.

Al-kisah...5 perkara utama dalam hidup!

Wajah yang cantik
Duit yang banyak
Kesihatan yang baik
Anak-anak yang cerdik dan berjaya
Tidur yang nyenyak tanpa ganguan

Senang jer untuk mendapatkannya, hanya 15 minit setiap hari.

Sabda Nabi Muhammad SAW;
"Siapa yang tinggalkan solat subuh tiadalah padanya nur di wajahnya dan siapa yang tinggalkan solat zohor tiadalah padanya rezeki yang berkat dan barang siapa yang tinggalkan solat asar tiadalah padanya kekuatan badan, dan siapa yang tinggalkan solat maghrib tiadalah padanya anak-anak yg bermanfaat dan barangsiapa yang tinggalkan solat isyak tiadalah padanya tidur yang nyenyak"

12 Julai 2010

Al-kisah...Wasiat Nabi Muhammad SAW kepada lelaki!

Adab Uz-Zifaf Ahmad telah menceritakan;

Telah menceritakan kepada kami oleh Amru bin Hafsah dan Abu Naar dari Muhammad bin Al-Haitham dari Ishak bin Hanjih dari Husaif dari Mujahid daripada Al-Khudri yang berkata;
Rasulullah SAW telah berwasiat kepada Saidina Ali bin Abi Talib RA di mana Baginda telah bersabda ;

1. “Wahai Ali, bila pengantin perempuan masuk ke dalam rumahmu, maka (suruh ia) tanggalkan kasutnya ketika ia duduk dan (suruh ia) membasuh kedua-dua kakinya. Maka sesungguhnya apabila kamu berbuat demikian Allah mengeluarkan tujuh puluh (70) jenis kefakiran dari rumah kamu, dan Allah SWT menurunkan tujuh puluh (70) rahmat yang sentiasa menaungi di atas kepala pengantin sehingga sentiasa keberkatan itu meratai setiap penjuru rumahmu dan pengantin itu sejahtera dari penyakit gila, sawan dan sopak selama mana ia berada di dalam rumah tersebut. Laranglah pengantin itu daripada memakan dan meminum empat (4) jenis makanan ini pada minggu pertama perkahwinan iaitu;

Susu, cuka, ketumbar dan epal masam"

Saidina Ali RA bertanya;
“Wahai Rasulullah, mengapakah empat jenis makanan ini di larang?”

Baginda menjawab;
“Kerana rahim perempuan itu kering dan sejuk, dengan sebab dari empat perkara (makanan) ini untuk menghalang dari dapat anak. Sesungguhnya tikar di penjuru rumah adalah lebih baik daripada perempuan yang tidak dapat anak”

Saidina Ali RA bertanya;
“Wahai rasulullah, mengapakah cuka itu di larang (semasa haid dan semasa minggu pertama perkahwinan)?”

Baginda menjawab;
“Apabila ia minum cuka semasa haid, sesungguhnya haidnya itu tidak akan bersih selama-lamanya secara sempurna. Mengenai ketumbar, ia mengganggu haid di dalam perutnya dan menyukarkan kepadanya kelahiran. Tentang epal masam, ia memotong haid sebelum masanya maka menjadikan haid itu berlalu begitu saja dengan sebabnya.”

2. “Wahai Ali, janganlah engkau berjimak dengan isterimu pada awal (hari pertama) bulan, pada pertengahannya (sehari) dan pada akhir (dua hari) di hujung bulan. Maka sesungguhnya penyakit gila, gila babi dan sopak mudah mengenainya dan anaknya.”

3. “Wahai Ali, janganlah berjimak dengan isterimu selepas Zuhur. Sesungguhnya jika Allah SWT mengurniakan kepada kamu berdua anak kerana jimak pada waktu itu, maka ia akan bermata juling dan syaitan sangat suka kepada manusia yang bermata juling.”

4. “Wahai Ali, janganlah bercakap-cakap semasa jimak. Sesungguhnya jika Allah SWT mengurniakan kepada kamu berdua anak dengan jimak yang demikian, maka anak itu tidak selamat daripada bisu.”

5. “Wahai Ali, janganlah lihat kepada faraj perempuanmu dan jagalah pandanganmu sewaktu berjimak (jika tidak) sesungguhnya mewarisi buta – iaitu anak.”

6. “Wahai Ali, janganlah berjimak dengan perempuanmu dengan syahwat terhadap perempuan lain, maka sesungguhnya yang demikian itu jika Allah SWT mengurniakan kepadamu berdua anak, anak itu akan menjadi pondan yang bersifat benci dan hina.”

7. “Wahai Ali, jika kamu berjunub di tempat tidur, janganlah membaca Al-Quran. Maka sesungguhnya aku bimbang akan turun kepada kamu berdua api (bala) dari langit yang membakar kamu berdua.”

8. “Wahai Ali, janganlah berjimak dengan isterimu kecuali ada padamu satu tuala dan pada isterimu satu tuala.

9. “Wahai Ali, janganlah kamu berdua menyapu dengan menggunakan satu tuala, nanti akan jatuh syahwat ke atas syahwat (salah seorang akan kuat syahwatnya daripada yang lagi satu), maka sesungguhnya yang demikian itu akan mengakibatkan permusuhan kemudian membawa kamu berdua kepada berpecah dan talak.”

10. “Wahai Ali, janganlah kamu berjimak dengan isterimu secara berdiri, maka sesungguhnya yang demikian itu daripada perbuatan keldai. Jika Allah SWT mengurniakan kepada kamu berdua anak, maka anak itu sentiasa kencing di tempat tidur seperti keldai yang suka kencing di merata-rata tempat.”

11. “Wahai Ali, janganlah berjimak dengan isterimu pada malam Aidil Fitri (Raya Puasa). Maka sesungguhnya jika Allah SWT mengurniakan kepada kamu berdua anak, anak itu seorang yang cacat dan tidak mendapat anak baginya kecuali sudah tua.”

12. “Wahai Ali, janganlah kamu berjimak dengan isterimu pada malam Aidil Adha. Maka sesungguhnya jika kamu berdua berjimak pada malam tersebut, apabila Allah SWT mengurniakan kepada kamu berdua anak, aku bimbang ia akan menjadi seorang yang berjari enam atau empat.”

13. “Wahai Ali, janganlah kamu berjimak dengan isterimu di bawah cahaya matahari (secara langsung ) dan terkena warna (cahayanya), kecuali kamu mengenakan tutupan (bumbung). Jika tidak maka sesungguhnya kalau Allah mengurniakan kepada kamu berdua anak, nanti anak itu akan menjadi seorang sentiasa hidup dalam meminta-minta dan fakir sehingga mati.”

14. “Wahai Ali, janganlah kamu berjimak dengan isterimu di bawah pohon kayu yang berbuah. Maka sesungguhnya jika Allah SWT mengurniakan kamu berdua anak, nanti anak itu akan menjadi seorang tukang gojo, tukang sebat atau seorang ketua yang bengis.”

15. “Wahai Ali, janganlah kamu berjimak dengan isterimu sewaktu antara azan dan iqomah. Jika berjimak pada waktu demikian, sesungguhnya jika Allah mengurniakan anak pada kamu berdua, nanti ia menjadi seorang yang menumpahkan darah.”

16. “Wahai Ali, janganlah kamu berjimak dengan isterimu semasa ia hamil kecuali kamu berdua berwuduk. Jika tidak maka sesungguhnya jika Allah SWT mengurniakan kamu berdua anak, nanti ia akan menjadi seorang yang buta hati dan bakhil tangan.”

17. “Wahai Ali, janganlah kamu berjimak dengan isterimu pada pertengahan (Nisfu) Sya’ban. Maka sesungguhnya yang demikian itu jika Allah SWT mengurniakan kamu berdua anak, nanti anak itu akan mempunyai tanda yang jelek pada muka dan rambutnya.”

18. “Wahai Ali, janganlah kamu berjimak dengan isterimu pada akhir bulan (yakni tinggal dua hari). Maka sesungguhnya yang demikian itu jika Allah SWT mengurniakan kepada kamu berdua anak nanti, anak tersebut menjadi seorang yang sentiasa perlu meminta-minta.“

19. “Wahai Ali, janganlah kamu berjimak dengan isterimu dengan syahwat terhadap saudara perempuannya (ipar kamu) kerana yang demikian itu sesungguhnya kalau Allah SWT mengurniakan kepada kamu berdua anak, nanti anak itu akan menjadi penolong dan pembantu kepada orang yang zalim dan pada tangannya membuat kebinasaan kepada manusia.”

20. “Wahai Ali, janganlah kamu berjimak dengan isterimu di atas loteng maka sesungguhnya yang demikian itu jika Allah SWT mengurniakan anak kepada kamu berdua nanti, anak itu menjadi seorang munafiq, pelampau yang melewati batas.”

21. “Wahai Ali, janganlah kamu berjimak dengan isterimu pada malam kamu hendak keluar musafir kerana yang demikian itu sesungguhnya kalau Allah SWT mengurniakan kepada kamu berdua anak, ia akan membelanjakan harta kepada yang tidak Haq.”

22. “Wahai Ali, janganlah kamu berjimak dengan isterimu bila kamu keluar bermusafir dalam tempoh tiga hari tiga malam, maka yang demikian itu sesungguhnya bila Allah SWT mengurniakan kepada kamu berdua anak, nanti ia menjadi seorang pembantu kepada setiap orang yang zalim.”

23. “Wahai Ali, janganlah kamu berjimak dengan isterimu pada awal malam, maka sesungguhnya jika dikurniakan anak kepada kamu berdua, ia menjadi seorang tukang sihir, sunglap, dan menghendaki dunia daripada akhirat.”

24. “Wahai Ali, jika kamu berjimak dengan isterimu bacalah Allahumma Jannibnis Syaitan Wajanibis Syaitan Mimma Rozaktani. Maka yang demikian itu kalau Allah SWT mengurniakan kepada kamu anak, tidak dimudaratkan oleh syaitan terhadapnya selama-lamanya.“

25. “Wahai Ali, hendaklah kamu berjimak dengan isterimu pada malam Isnin, maka sesungguhnya jika Allah SWT mengurniakan kepada kamu berdua anak, ia akan menjadi seorang yang berpegang teguh kepada kitab Allah (Al-Quran) dan redha terhadap segala pemberian Allah SWT (baik dan buruk Qada dan Qadar Allah).”

26. “Wahai Ali, jika kamu berjimak dengan isterimu pada malam Selasa, Allah SWT akan memberi kepada kamu berdua anak yang mendapat nikmat mati syahid sesudah syahadah dan Allah SWT tidak azabkannya (turun bala kepadanya) bersama-sama orang musyrikin, mulutnya berbau harum yang akan melembutkan hati orang, bersih lidahnya daripada mengumpat, berdusta dan mengadu-domba. “

27. “Wahai Ali, jika kamu berjimak dengan isterimu pada malam Khamis, maka Allah SWT akan mengurniakan kepada kamu berdua anak yang bijaksana, atau seorang yang alim, di kalangan orang-orang yang alim.”

28. “Wahai Ali, jika kamu berjimak dengan isterimu sewaktu matahari di tengah langit, Allah SWTmengurniakan kepada kamu berdua seorang anak yang tidak di hampiri syaitan sehingga ia beruban (tua) dan menjadi seorang yang faqih serta Allah SWT rezekikan kepadanya keselamatan agama dan dunia.”

29. “Wahai Ali, jika kamu berjimak dengan isterimu pada malam Jumaat, nanti anak kamu berdua adalah seorang pemidato yang berwibawa dan petah.”

30. “Wahai Ali, jika kamu berjimak dengan isterimu pada hari Jumaat selepas Asar, Allah SWT akan kurniakan seorang anak yang terkenal, masyhur dan alim.”

31. “Wahai Ali, jika kamu berjimak dengan isterimu pada malam Jumaat selepas Isyak yang akhir, maka sesungguhnya diharapkan anakmu nanti menjadi seorang yang abdal (terkemuka)."

Wallahualam...