MEMASAK, mengemas, mendidik anak dan menguruskan rumah tangga sememangnya sinonim dengan peranan wanita dalam sesebuah keluarga sejak dulu.
Namun seiring dengan peredaran masa, wanita zaman ini tidak lagi terperuk di rumah dan sekadar menjadi tulang belakang kepada ketua keluarga.
Wanita zaman ini memenuhi kekosongan dunia korporat dan perniagaan malah makin ramai menjadi tunjang keluarga berikutan suami tidak mampu menyediakan segala kemudahan disebabkan pelbagai masalah.
Justeru, wanita seharusnya diberi penghormatan memandangkan mereka turut menyumbang kepada kesejahteraan dan keseimbangan ekonomi keluarga serta negara.
Mesej itu yang sentiasa disampaikan Tupperware Brands menerusi pelbagai skim bantuan perniagaan dan anugerah bagi menghargai serta mengenang jasa wanita dalam masyarakat.
Seiring dengan sambutan Hari Wanita Sedunia, Selasa lalu, Tupperware Brands mengiktiraf ahlinya serta wanita yang berusaha mengubah kehidupan mereka, sekali gus berjaya dalam bidang masing-masing.
“Wanita adalah figura penting dalam sebuah institusi kekeluargaan dan komuniti, kekuatan seseorang wanita itu tidak hanya mampu mengubah kehidupan dirinya menjadi lebih baik, malah keluarga serta orang yang rapat dengannya.
“Makin ramai wanita kini menjadi penyumbang utama kepada ekonomi keluarga malah ada yang terpaksa merangkul gelaran ketua keluarga atas pelbagai faktor.
“Jadi, peranan tambahan yang diletakkan di bahu wanita ini tidak boleh dipandang remeh tetapi perlu diangkat dan diiktiraf kerana sememangnya wanita yang banyak menjana kepada kesejahteraan sesebuah keluarga.
“Sejak dulu misi Tupperware Brands untuk membantu mengubah hidup seseorang terutama wanita. Anugerah Wanita Inspira Tupperware Brands ini inisiatif kami untuk menghargai serta menyanjungi wanita yang banyak memberi kesan kepada kehidupan orang lain,” ujar Naib Presiden Pasaran Asia Tenggara merangkap Pengarah Urusan Tupperware Brands Asia Tenggara, David Wong.
Berteraskan slogan 3E (Enlighten, Educate dan Empower), Tupperware Brands berusaha mendidik serta menyedarkan masyarakat bahawa peluang sentiasa terbuka untuk wanita mengubah hidup mereka.
Tambah Wong, sejak lebih tiga dekad Tupperware membuka peluang kepada wanita untuk merealisasi impian mereka. Jika sebelum ini mereka pemalu dan takut berdepan orang ramai, kini selepas menceburi perniagaan Tupperware, mereka semakin berkeyakinan malah boleh berkongsi pendapat di pentas.
Ada juga yang menjadi mangsa penderaan kini bangkit dan memulakan hidup baru yang lebih positif. Ada juga wanita disahkan menghidap penyakit kronik tetapi mampu hidup gembira, sekali gus menghalang penyakitnya daripada merebak. “Secara tidak langsung golongan ini memberi inspirasi kepada wanita lain untuk lebih berjaya dan Anugerah Wanita Inspira Tupperware Brands ini menjadi platform untuk wanita mencetuskan inspirasi kepada wanita lain,” katanya.
Pencarian penerima anugerah ini bermula pada pertengahan 2010 apabila ahli Tupperware Brands berpeluang mencoretkan kisah inspirasi mereka sama ada kisah kejayaan dalam perniagaan Tupperware serta kisah lain yang tidak berkaitan. Pada akhir pertandingan, hanya 12 cerita dipilih, lapan daripada Tupperware manakala empat diambil daripada kisah luar yang disyorkan masyarakat. Kedua-dua kategori pemenang pula diadili secara kiriman pesanan ringkas (SMS) oleh pembaca Harian Metro.
Norlia Ismail muncul juara bagi kategori ahli Tupperware berdasarkan kisahnya berdepan masalah kegawatan ekonomi yang melanda negara serta seluruh dunia pada 1997 hingga memberi kesan mendalam kepada keluarganya.
Masalah itu turut mengakibatkan perniagaan suaminya terjejas teruk hingga terpaksa menjual semua harta benda. Keadaan lebih buruk apabila enam anaknya terpaksa berhenti sekolah seketika kerana mereka kekurangan wang.
Selepas diperkenalkan dengan perniagaan Tupperware Brands lebih 13 tahun lalu, Norlia kini mencapai pangkat pengarah eksekutif, sekali gus memperbaiki taraf kehidupan keluarganya sehingga semua anak berjaya ke menara gading dan bekerja.
Sementara itu, pengorbanan dan kepayahan Zaidah Tamjis membantu anaknya, Siti Hawa Apandi meredah cabaran di menara gading diiktiraf Tupperware Brands bagi kategori kisah luar. Siti Hawa mengalami masalah spinal muscular atrophy tahap dua yang melemahkan urat saraf lalu menyebabkan anggota tubuhnya mengecil dari semasa ke semasa dan semakin hilang keupayaan untuk bergerak.
Situasi itu membuatkan Siti Hawa hanya mampu duduk di kerusi roda dan setiap pergerakan serta keperluannya diuruskan Zaidah yang melakukan segalanya termasuk mengikuti pengajian anaknya semasa kuliah hingga Siti Hawa berjaya meraih anugerah dekan dan menamatkan pengajiannya. Siti Hawa kini menyambung pengajiannya di peringkat ijazah sarjana muda bagi jurusan kejuruteraan perisian di Universiti Malaysia Pahang. Zaidah pula akan terus menyambung peranannya seperti sebelum ini antaranya menemani Siti Hawa menghadiri kuliah serta ‘menduduki’ peperiksaan bersama-sama.
Kedua-dua pemenang itu menerima pakej pelancong ke Korea bernilai RM6,000 dan pelbagai barangan Tupperware yang mencecah RM1,000.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan