CADANGAN Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) untuk mengadakan program latihan atlet dengan kos RM3 juta di Kompleks Sukan Ranau, Sabah ditolak Majlis Sukan Negara (MSN), semalam.
Ketua Pengarah, Datuk Zolkples Embong berkata, tempat latihan dikemukakan badan induk sukan olahraga itu tidak sesuai kerana daripada segi geografi, Ranau bukan kawasan tanah tinggi yang sesuai untuk latihan atlet acara trek.
“Kami tidak mahu bazirkan peruntukan kerajaan untuk program yang tidak memberi kesan kepada pembangunan semua atlet,” katanya mengulas perkembangan cadangan KOAM untuk mengadakan program latihan di luar Kuala Lumpur bagi persiapan menghadapi Sukan Sea di Indonesia.
Beliau berkata, atlet olahraga perlukan pertandingan berbentuk kompetitif dan bukannya menjalani latihan di luar Kuala Lumpur.
Zolkples berkata, MSN akan berhati-hati menyalurkan peruntukan kewangan kepada KOAM selepas badan olahraga itu didapati beberapa kali menggunakan peruntukan tidak mengikut cadangan MSN.
“Tahun lalu MSN menyalurkan peruntukan besar kepada KOAM bagi program pembangunan atlet tapi digunakan untuk menghantar atletnya bertanding di luar negara,” katanya.
Katanya, MSN menyalurkan peruntukan khas kepada KOAM untuk membeli peralatan bantuan sukan namun mereka tidak membuat pembelian itu dan wang tidak dikembalikan kepada MSN.
“Saya kecewa dengan kenyataan KOAM mendesak atlet yang masih belajar menyertai program sedangkan ada di antara mereka perlu menghabiskan pengajian tahun ini selepas tujuh tahun menangguh pengajian.
“Tahun ini atlet tidak ada banyak kejohanan penting dan inilah masa mereka menghabiskan baki pengajian di institut pengajian tinggi sebelum kembali sibuk dengan kejohanan sukan tahun depan,” katanya.
Tahun depan atlet negara perlu memberi sepenuh perhatian kepada persiapan menghadapi temasya Sukan Olimpik London, katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan