08 Januari 2011

Al-kisah...Wanita jalani rawatan IVF maut!

bhnews@bharian.com.my
2011/01/01

TAN  bersama ahli keluarga memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Lui Gah Chieng (gambar kecil) di   Pekan,  semalam.
TAN bersama ahli keluarga memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Lui Gah Chieng (gambar kecil) di Pekan, semalam.

Perut mangsa semakin membengkak, koma selepas lakukan pembedahan

PEKAN: Kegembiraan sepasang suami isteri untuk mendapatkan bayi melalui rawatan Persenyawaan Luar Rahim (IVF) bertukar mimpi ngeri apabila wanita terbabit meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, Rabu lalu.

Lui Gah Chieng, 34, disahkan meninggal dunia di wad HTAA kira-kira jam 2 petang, selepas hampir tiga minggu menanggung kesakitan yang didakwa berpunca daripada rawatan IVF sehingga terpaksa menjalani pembedahan.

Suaminya, Tan Yang Long, 39, berkata, beliau amat sedih apabila bukan saja harapannya untuk mendapatkan cahaya mata tidak kesampaian tetapi turut kehilangan isteri tercinta yang dikahwininya enam tahun lalu.

"Walaupun sudah lama berkahwin, kami tidak dikurniakan anak, lalu mendorong kami untuk mencuba rawatan berkenaan," katanya yang tidak mampu menahan sebak selepas memberi penghormatan terakhir kepada mendiang isterinya, semalam.

Katanya, sebelum melakukan rawatan itu, mereka pernah menjalani pemeriksaan kesihatan di sebuah klinik swasta di ibu negara dan disahkan sihat sepenuhnya serta tidak mempunyai sebarang penyakit.

"Malah doktor yang membuat pemeriksaan kepada kami itu turut memberi galakan supaya melakukan rawatan berkenaan dan dengan perasaan teruja kami nekad melakukannya di HTAA di sini.

"Proses rawatan berkenaan bermula 26 Oktober lalu dan segala-galanya berjalan lancar, malah isteri kelihatan gembira apabila harapan kami mendapatkan anak bakal tercapai," katanya.

Bagaimanapun, Tan berkata, pada 15 Disember lalu, isterinya mula mengadu sakit terutama pada bahagian perut dan keadaannya semakin tenat malah perutnya juga semakin membengkak.

"Perutnya membengkak sehingga ukuran asal pinggangnya 63.5 sentimeter (25 inci) membesar kepada 88.9 sentimeter (35 inci) malah berat badannya juga naik mendadak sebanyak 15 kilogram sehingga dia terpaksa menjalani pembedahan.

"Pembedahan dijalankan pada 25 Disember lalu bagaimanapun tidak memulihkan keadaannya sebaliknya mendiang semakin tenat dan berada dalam koma sebelum disahkan meninggal dunia.

"Pihak hospital memaklumkan kepada kami bahawa mendiang meninggal dunia akibat organ utamanya gagal berfungsi dan alasan terbabit sukar diterima memandangkan keadaannya sihat sebelum menjalani rawatan IVF," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Kesihatan negeri, Datuk Hoh Khai Mun ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit dan menegaskan akan menyiasat punca utama kematian mangsa.

"Saya sudah menerima laporan awal daripada hospital berkenaan mengenai kematian mangsa yang dikatakan mengalami komplikasi terhadap rawatan yang dijalankan ke atasnya.

"Mendiang yang mengadu sakit di bahagian abdomen ditahan di wad ketika dibawa ke HTAA pada 15 Disember lalu untuk menjalani rawatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, keadaannya yang semakin teruk menyebabkan mendiang perlu menjalani pembedahan yang agak rumit dan mengalami pendarahan teruk sepanjang pembedahan dijalankan.

"Keadaan diri mendiang semakin teruk dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas tidak sedarkan diri dan meninggal dunia selepas semua organ utamanya gagal berfungsi.

"Siasatan awal mengesan komplikasi yang berlaku mendapati mendiang menghidap ovarian hyperstimulation syndrome dan siasatan mengenainya dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematiannya," katanya.

Tiada ulasan: