17 Januari 2011

Al-kisah...Ketua Jurulatih PLKN (Ovai, Papar) maut dirempuh pacuan empat roda!

JENAYAH

MOHD. Faizal Silong Abdullah maut dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 6, Jalan Lama Papar-Kota Kinabalu, kelmarin.

PAPAR 16 Jan. - Seorang ketua jurulatih Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah pacuan empat roda di Kilometer 6 Jalan Lama Papar-Kota Kinabalu di sini semalam.

Kejadian berlaku pukul 6.50 pagi ketika mangsa, Mohd. Faizal Silong Abdullah, 48, dalam perjalanan dari rumahnya ke Kem PLKN Ovai di sini.

Ketua Trafik daerah, Asisten Supritendan Fauzi Sahat berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di seluruh bahagian badan.

"Semasa kejadian, mangsa yang merupakan Ketua Jurulatih PLKN Ovai dalam perjalanan ke kem berkenaan dari rumahnya.

"Sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, sebuah pacuan empat roda dari Kota Kinabalu ke Bongawan dikatakan memasuki lorong bertentangan sebelum bertembung dengan motosikal yang ditunggangi mangsa," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Fauzi, mayat mangsa dihantar ke Hospital Papar untuk bedah siasat dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau memberitahu, polis telah menahan pemandu kenderaan pacuan empat roda berkenaan untuk siasatan lanjut.

"Siasatan awal mendapati pemandu kenderaan jenis Toyota Hilux berusia 21 tahun itu dipercayai mengambil minuman keras sebelum terbabit dalam kemalangan itu," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya tidak memandu dalam keadaan mabuk dan mematuhi peraturan jalan raya.

Katanya, tindakan tegas mengikut undang-undang akan dikenakan kepada sesiapa sahaja yang melanggar peraturan jalan raya.

Tiada ulasan: