30 Ogos 2010

Al-kisah..."Roslin tiada bersama saya"!

Oleh Zubir Mohd Yunus
zubir@bharian.com.my
2010/08/29

FOTO terbaru Raja Azmi bersama Jalani dan Roslin yang dirakamkan awal minggu ini.
FOTO terbaru Raja Azmi bersama Jalani dan Roslin yang dirakamkan awal minggu ini.

Raja Azmi cabar pihak tabur fitnah tengok sendiri CCTV bilik 533

USAHA media massa mendapatkan kenyataan daripada penerbit filem sensasi, Raja Azmi Raja Sulaiman, 51, selepas dituduh sebagai orang ketiga punca perceraian jaguh badminton negara, Roslin Hashim, 35, menerusi perkahwinan keduanya, terus menemui jalan buntu apabila dia enggan mengulas mengenai perkara itu, selain tidak mahu menjawab panggilan telefon mahupun kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) wartawan.

Raja Azmi pula sebelum ini sekadar membuka mulut kepada media massa mengenai pengalamannya bermalam di lokap gara-gara mengingkari perintah mahkamah sebagai saksi perbicaraan kes saman sivil. Pun begitu, Raja Azmi akhirnya tidak dapat mengelak berbicara mengenai dakwaan berkenaan apabila penulis terserempak dengannya di Hospital Pakar Ampang Puteri, Ampang, Selangor, baru-baru ini. Kemunculannya di hospital pakar itu bagi mendapatkan rawatan migrain turut ditemani suaminya, bekas jaguh badminton negara, Jalani Sidek, 46, bersama Roslin.

Justeru, buat pertama kalinya, secara eksklusif Raja Azmi tampil membuat kenyataan media mengenai kejadian yang berlaku pada 7 Ogos lalu sehingga Roslin melafazkan cerai terhadap bekas isterinya, Nurhayati Othman, 38, pada tarikh berkenaan. Perkahwinan Roslin bersama Nurhayati yang juga Pengarah Pemasaran, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) hanya mampu bertahan 28 hari selepas mereka bernikah pada 9 Julai lalu. Perkahwinan pertama Roslin dengan Faizah Mohamad pada tahun lalu pula hanya bertahan 12 hari.

Terdahulu, Nurhayati dalam pernyataan mahkamahnya, baru-baru ini mendakwa Roslin dan Raja Azmi berdua-duaan di dalam bilik bernombor 533, Hotel Corus, Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada 7 Ogos lalu, sekali gus dirinya diceraikan selepas berlaku perdebatan. Perbicaraan kes berkenaan akan berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor, 1 September ini.

Ikuti temu bual bersama Raja Azmi:
“Pada 7 Ogos lalu, Datuk Misbun (Sidek) dan Jalani dijemput merasmikan Kelab Kuda di Kem Isi Rimba, Kemensah, namun kedua-duanya tidak dapat hadir. Mereka ada urusan lain pada masa dan tarikh berkenaan. Akhirnya Jalani meminta saya bersama Roslin menggantikan tempat mereka.

Selepas perasmian, kami dijamu dengan durian. Sebaik selesai acara berkenaan, saya dan Roslin memang ke Hotel Corus sebagai lokasi pertemuan bersama seorang kenalan dari Johor yang juga kawan Jalani. Dalam perancangan awal, dia akan bermalam di hotel itu selepas mengadakan pertemuan bersama kami (Jalani, Raja Azmi dan Roslin) berhubung perkara peribadi.

Jalani yang ketika itu belum selesai dengan urusannya, meminta saya membuat pendaftaran di hotel berkenaan. Roslin menurunkan saya di lobi hotel, manakala dia terus ke tempat letak kereta. Saya pula menempah sebuah suite dan mendaftar masuk atas nama Raja Azmi. Pekerja penyambut tetamu hotel itu sempat bertanya kepada saya, buat apa di sini, saya memberitahunya ada kawan nak datang dari Johor.

Dapat kunci, saya terus naik ke bilik 533. Manakala Roslin tidak bersama saya ketika itu. Boleh tengok CCTV kalau tak percaya, saya seorang diri menuju ke bilik. Setibanya di bilik itu, saya terus menghubungi Jalani, dia memberitahu akan sampai ke hotel tidak lama lagi kerana terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

Selepas keluar tandas, saya lihat banyak missed calls daripada Jalani, saya telefon dia balik, dia tanya Roslin mana, saya memaklumkan mungkin dia berada di sekitar hotel. Selepas menghubungi Roslin, Jalani menghubungi saya semula. Dia tanya, adakah Nurhayati bersama ahli keluarganya datang ke bilik? Saya kata, tak ada sesiapa pun.

Jalani menambah, Nurhayati dan anggota keluarganya sudah berada di hotel dan mereka sedang menunggu kedatangannya. Saya tanya kenapa? Jalani tanya, sama ada mereka sudah sampai ke belum? Saya pun jenguk di lubang intai pintu bilik, kebetulan bilik berkenaan terletak hujung sekali, justeru saya nampak Nurhayati dan ibunya sedang berlegar-legar di kawasan lif.

Saya pun memaklumkan kepada Jalani, saya nampak mereka berlegar-legar di depan lif. Jalani akhirnya memberitahu, mereka sebenarnya nak serbu saya di bilik berkenaan! Saya pun tertanya-tanya, kenapa nak serbu? Tidak lama kemudian, Jalani ketuk pintu bilik. Sebaik pintu dibuka, Jalani masuk manakala ibu Nurhayati tolak pintu dengan kuat!

Anggota keluarga Nurhayati terus melakukan pemeriksaan di segenap ruang bilik, selak langsir, buka peti ais, masuk bilik air dan pegang katil! Saya sempat mendengar perbualan antara mereka, katil elok, tak usik. Apabila masuk ke bilik air pula, mereka sempat tengok, tuala yang digunakan hanya sehelai. Nurhayati pula berdiri saja, dia tak periksa apa-apa. Dia pandang saya saja.

Ayat pertama yang muncul daripada mulut Nurhayati dia mendakwa, ‘What are you doing here with my husband? All this while, you think I don’t know, you’ve been having an affair with my husband! Saya diam saja, tak menjawab. Nurhayati juga mendakwa, ‘Tak sangka Kak Raja you are such a bitch!’ Masih terngiang-ngiang di telinga saya kata-kata Nurhayati.

Saya sedih, tapi terus mendiamkan diri. Dalam hati berkata-kata, maki hamun datangnya daripada syaitan, jadi jangan kita sambut kata-kata syaitan. Seandainya kita sambut, kita pun jadi syaitan! Sebaik selesai mendengar kata-katanya itu, saya pun menjelaskan keadaan sebenar, kenapa saya berada di bilik berkenaan. Saya tunggu kawan yang akan datang dari Johor, Jalani pun ada sama, tapi mereka tahu mahu dengar penjelasan saya!

Kemudian, seorang anggota keluarga Nurhayati menyampuk mendakwa, ‘Kakak, as long as berdua saja dalam bilik, khalwat! Saya tanya, mana yang seorang lagi, Roslin mana? Mereka mendakwa asalnya Roslin bersama saya berada di dalam bilik, tapi Jalani telefon Roslin suruh keluar. Saya tanya balik, tadi mereka tunggu depan lif, berlegar-legar, nampak ke Roslin keluar dari bilik?

Mereka minta saya tak perlu berdalih atau berdrama lagi. Mereka terus mencemuh, Mereka mendakwa lagi, ‘Tak sangka Kak Raja macam ini, curang dengan suami!’ Jalani diam saja, bagi saya tahap kesabaran Jalani setaraf alim ulama! Mereka terus bertanya di mana Roslin. Tak lama kemudian, Nurhayati mendakwa, ‘Kak Raja tahu tak, sejak saya berkahwin dengan Roslin, saya terseksa. Kejap-kejap Roslin cari Kak Raja!’

Saya tanya lagi, jadi kenapa nak serbu? Mereka mendakwa nak tengok dengan mata sendiri, saya berkhalwat dengan Roslin. Anggota keluarga Nurhayati terus mendakwa, ‘Kak Raja tahu tak, Roslin tak menjalankan tanggungjawabnya sebagai suami, ia umpama pasangan baru kahwin yang tak normal, Roslin tak balik rumah beberapa hari!’

Memang Roslin berada di rumah saya dan Jalani ketika dia tak pulang bertemu Nurhayati! Saya tanya Roslin, kenapa tak mahu balik, Roslin memaklumkan dia kecewa dengan sikap Nurhayati kerana isterinya itu tak mahu dengar cakap dia, degil! Tak lama kemudian, Jalani telefon Roslin meminta dia naik ke bilik untuk mendengar penjelasan daripadanya pula.

Saya dan Jalani minta Roslin bercerita di depan Nurhayati, apa punca sebenar dia tak mahu balik ke rumah isterinya. Roslin mendakwa, dia dapat tahu Nurhayati jumpa bomoh buat ubat guna-guna, bagi dia makan supaya dia dengar cakap isterinya, duduk rumah tak keluar-keluar! Nurhayati minta bukti. Roslin mendakwa, sejak dia dapat tahu isterinya jumpa bomoh, boleh dikatakan hampir setiap hari Nurhayati nak memasak untuk dirinya.

Roslin menambah, kadang-kadang dia balik juga ke rumah, tapi dia tak mahu makan di rumah, dia ajak Nurhayati makan di luar. Terus keluarga Nurhayati mendakwa, dalam keluarga mereka, tak pernah buat kerja-kerja (bomoh) macam tu. Nurhayati pula mendakwa, ‘I tak percaya semua bomoh ni!’

Memendekkan cerita, selepas berlaku perdebatan, akhirnya Nurhayati bertanya kepada Roslin, ‘What do you want now?’ Roslin pun terus cakap, ‘I cerai youlah.’ Nurhayati pun melenting! Saya menenangkan keadaan, minta Roslin dan Nurhayati berbincang elok-elok dan buat keputusan dalam keadaan tenang. Roslin terus minta maaf dengan ibu Nurhayati kerana terkeluar kata (cerai) itu.

Ini bermakna, Roslin tak nak cerai Nurhayati lagi, tapi disebabkan sedang marah, maka terkeluar kata cerai itu. Mereka sama-sama bermaafan, Nurhayati pula hatinya dah lembut. Dia sempat minta maaf dengan saya kerana dia mendakwa cemburu hubungan rapat saya dengan Roslin selama ini.

Tiada ulasan: