07 Julai 2010

Al-kisah.. .Manusia yang didoakan oleh malaikat!

Malaikat merupakan makhluk Allah yang sangat taat kepadaNya. Malaikat diciptakan dari cahaya dan nur, tidak memiliki nafsu seperti kita, bukan lelaki ataupun wanita dan sentiasa menjalankan tugasnya hingga ke hari kiamat. Walaubagaimanapun dalam apa keadaan sekalipun, para malaikat tetap berzikir dan membesarkan Allah SWT.

Ada malaikat yang ditugaskan berdoa kepada manusia dan sudah tentu seseorang yang didoakan malaikat mendapat keistimewaan. Dalam hidup, kita sangat memerlukan bantuan rohani dalam menghadapi ujian yang kian mencabar. Bantuan dan sokongan malaikat sangat diperlukan. Ketika menghadapi masalah, kerumitan, keperluan dan bimbingan, bukan saja kita perlukan kekuatan doa dari lidah, tetapi juga sokongan malaikat.

Berikut mereka yang mendapat doa daripada malaikat iaitu;

Orang yang tidur dalam keadaan bersuci.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;
"Sesiapa yang tidur dalam keadaan suci, malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa: "Ya Allah, ampunilah hambaMu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci."


Orang yang sedang duduk menunggu waktu solat.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;
"Tidaklah salah seorang antara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali kalangan malaikat akan mendoakannya: 'Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia.'"


Orang yang berada di saf depan solat berjemaah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;
"Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikatNya berselawat ke atas (orang) yang berada pada saf depan."


Orang yang menyambung saf pada solat berjemaah
(tidak membiarkan kekosongan di dalam saf).


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;
"Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat selalu berselawat kepada orang yang menyambung saf."

Kalangan malaikat mengucapkan 'amin' ketika seorang imam selesai membaca al-Fatihah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;
"Jika seorang imam membaca...(ayat terakhir al-Fatihah sehingga selesai), ucapkanlah oleh kamu 'aamiin' kerana sesiapa yang ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, dia akan diampuni dosanya yang lalu."


Orang yang duduk di tempat solatnya selepas melakukan solat.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;
"Kalangan malaikat akan selalu berselawat kepada satu antara kalian selama ia ada di dalam tempat solat, di mana ia melakukan solat."


Orang yang melakukan solat Subuh dan Asar secara berjemaah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;
"Kalangan malaikat berkumpul pada saat solat Subuh lalu malaikat (yang menyertai hamba) pada malam hari (yang sudah bertugas malam hari hingga Subuh) naik (ke langit) dan malaikat pada siang hari tetap tinggal.

"Kemudian mereka berkumpul lagi pada waktu solat Asar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga solat Asar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal lalu Allah bertanya kepada mereka;
'Bagaimana kalian meninggalkan hambaKu?'


Mereka menjawab;
'Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan solat dan kami tinggalkan mereka sedangkan mereka sedang melakukan solat, ampunilah mereka pada hari kiamat."


Orang yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan orang yang didoakan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;
"Doa seorang Muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan. Pada kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, malaikat itu berkata 'aamiin' dan engkau pun mendapatkan apa yang ia dapatkan.'"


Orang yang membelanjakan harta (infak).

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;
"Tidak satu hari pun di mana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, satu antara kedua-duanya berkata;
'Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfak..."



Orang yang sedang makan sahur.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;
"Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikatNya berselawat kepada orang yang sedang makan sahur."


Orang yang sedang menjenguk (melawat) orang sakit.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;
"Tidaklah seorang mukmin menjenguk saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70 ribu malaikat untuknya yang akan berselawat kepadanya di waktu siang hingga petang dan di waktu malam hingga Subuh."


Wallahualam...

Tiada ulasan: