MINA: Satu pembedahan untuk memisahkan sepasang kembar siam, yang diketuai oleh Menteri Kesihatan Dr. Abdullah bin Abdulaziz Al-Rabeeah, telah menyebabkan seluruh penduduk sebuah kampung di Cameroon memeluk Islam.
Ini didedahkan oleh seorang pegawai tinggi negara Afrika itu, Sultan Omar, semasa mengadakan lawatan untuk bertemu dengan Al-Rabeeah di Hospital Kecemasan Mina. Kembar tersebut, Rahima dan Hamidah, dipisahkan pada April 2007.
“Kejayaan pembedahan yang dijalankan oleh Al-Rabeeah itu telah menyebabkan ketua dan ahli-ahli puak di kampung Banki Tungo, yang berpenduduk seramai 1,100 orang, dan ramai lagi di beberapa bahagian Cameroon memeluk Islam secara beramai-ramai. Tindakan mereka didorong oleh sikap perikemanusiaan yang ditunjukkan oleh Raja Abdullah,” katanya.
Omar diiringi delegasi seramai 26 orang saudara baru warga Cameroon, yang sedang mengerjakan Haji sebagai tetamu Raja Abdullah, mengunjungi Al-Rabeeah untuk menyampaikan ucapan terima-kasih kepada beliau. “Kami bukan sahaja terhutang budi kepada Al-Rabeeah, tetapi juga kepada Raja Abdullah yang mengarahkan supaya kembar tersebut dipisahkan dengan kos ditanggung baginda.
Pembawa sial
Kembar Siam warga Cameroon Rahima dan Hamidah (dulunya dikenali Pheinbom dan Shevoboh) dianggap sebagai pembawa sial semasa dilahirkan, tetapi kejayaan pakar-pakar bedah Arab Saudi melakukan pemisahan telah merubah kehidupan mereka – dan keimanan penduduk kampung mereka.
Mereka bercantum di dada, perut dan punggung sewaktu dilahirkan dan para jururawat yang menyambut kelahiran bayi tersebut di Babanki Tungo, sebuah kampung utara Cameroon, berasa terkejut dengan “kelahiran pelik” itu sehingga lari bertempiaran meninggalkan klinik.
Perkhidmatan perubatan asas di Babanki Tungo sangat terbatas untuk merawat kambar perempuan tersebut dan, setelah rayuan dibuat melalui internet, Raja Abdullah bersetuju menanggung kos membawa mereka ke Arab Saudi untuk tujuan pembedahan pada 2007.
Pembedahan yang mengambil masa selama 16 jam tersebut berjaya memisahkan kembar tersebut dan kini masing-masing memiliki perut sendiri.
Memeluk Islam
Beberapa orang di Babanki Tungo – sebuah kampung yang mengeluarkan hasil-hasil sayuran – menganggap kembar tersebut sebagai “hadiah syaitan” yang dihantar untuk menghukum ayah mereka, yang sudahpun mempunyai 13 anak dengan dua isteri yang lain.
Setengah yang lain pula percaya yang Rahima dan Hamidah dihantar untuk menghukum seluruh kampung, selepas seorang pemimpin tradisi dalam wilayah berkenaan dibakar hidup-hidup oleh orang-orang bawahannya.
“Segalanya sangat sukar sewaktu bayi-bayi itu masih bercantum,” kata Emerencia Nyumale, ibu kepada pasangan kembar tersebut. “Apabila orang nampak saya membawa anak-anak, mereka akan lari dan ini membuatkan saya berasa sungguh bersalah dan sepi keseorangan,” katanya. “Syukur kepada tuhan segalanya sudah berakhir selepas pemisahan dilakukan.”
Cerita tentang kanak-kanak tersebut juga membawa kesan lain kepada penduduk Babanki Tungo.
Kerajaan Saudi membiayai pembinaan sebuah pusat Islam di kampung tersebut yang terdiri daripada sebuah masjid, taman asuhan kanak-kanak, sekolah rendah dan pusat kesihatan.
Beberapa orang penduduk percaya tindakan ini akan menyebabkan lebih ramai penduduk Kristian Babanki Tungo memeluk Islam. Langkah ini telah dimulakan oleh ibubapa kembar tersebut. Si ayah, Ngong James Akumbu, sekarang dikenali sebagai “Abdallah”, Emerencia sebagai “Aisha”, dan lima orang anak-anak mereka telahpun memasuki sekolah rendah Islam.
Rahmat atau sumpahan?
Kum Edwin, seorang guru di sekolah tersebut, juga telah memeluk Islam. “Sebelum sekolah dibuka, saya menganggur, dan memiliki ramai teman wanita dan banyak minum,” kata Edwin, yang menukar nama kepada “Abdallah Wagf”.
“Bila saya dengar sebuah sekolah Islam akan dibuka, saya terus mengikuti kursus pengajian Islam selama tiga bulan… Saya dah tak minum dan sekarang sedang mencari calon isteri kerana memiliki ramai teman wanita bukannya satu sikap yang baik.”
Ramai penduduk di Babanki Tungo menganggap kelahiran Rahima dan Hamidah telah membawa rahmat dan bukannya sumpahan. Masyarakat tidak lagi memandang serong melihat kanak-kanak kembar tersebut merangkak dalam kampung, seperti yang mereka lakukan dahulu.
“Saya selalu memberitahu para ibubapa supaya bersabar apabila menerima ujian tuhan kerana sesuatu yang buruk akan bertukar menjadi baik di masa depan,” kata ayah si kembar.
Sememangnya, kembar tersebut telah mengubah nasib mereka. Setelah melalui kepahitan dipinggirkan, sekarang kembar tersebut mempunyai kehidupan masing-masing dan menjadi faktor kepada perubahan yang berlaku dalam masyarakat sekeliling.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan