03 Januari 2011

Al-kisah...Pencari kayu api vs mungkar nangkir!

Al kisahnya seorang jutawan telah menulis satu wasiat ;

"Barang siapa yang mendapat menjaganya di dalam kubur setelah beliau mati nanti akan diwarisi separuh dari harta peninggalannya itu"


Lalu di tanya pada anak-anak semua adakah mereka sanggup menjaganya di dalam kubur nanti.

Lantas menjawab anak;
"Mana mungkin kami sanggup menjagamu wahai ayah kerana pada masa itu ayah sudah pun menjadi mayat"


Selang keesokan dipanggil semua adik beradiknya dan beliau berkata;

"Wahai adik-adikku sekalian, sanggupkah kamu menjaga akan daku setelah aku mati nanti. Bersama selama 40 hari di dalam kubur yang ku hias indah seperti banglo mewah ini. Dan aku juga akan memberi setengah dari harta ku kepada di antara kamu yang sanggup bersama ku"

Adik-adiknya pun menjawab;
"Wahai abangku, adakah engkau sudah gila mana mungkin manusia sanggup bersama mayat selama itu di atas bumi inikan pula di dalam tanah"


Lalu dengan sedih jutawan tersebut membawa diri ke kamarnya. Beliau masih bertegas dengan hajatnya yang ingin diteman di dalam kubur nanti apabila beliau sudah mati nanti. Dipanggil setiausahanya supaya di war war di dalam akhbar dan media akan wasiatnya itu.

Dan akhirnya sampai jugalah hari di mana jutawan tersebut kembali ke rahmatullah. Kuburnya di hias indah dan digali seperti sebuah banglo di dalam tanah yang mempunyai kemudahan harian selama 40 hari.

Dan pada waktu yang sama seorang tukang kapak yang sangat miskin telah mendengar akan wasiat tersebut lalu diberitahu kepada isterinya apakah aku perlu mengambil kesempatan ini untuk menjadi kaya.

Isterinya berkata;
"Wahai suamiku, apalah sangat menjaga mayat tersebut selama 40 hari dibandingkan kerja-kerja mu di dalam hutan bertemu harimau dan hantu bajang ketika menebang kayu. Lagi pun makanan disediakan"


Tukang kayu tersebut dengan tergesa-gesalah ke rumah jutawan tersebut untuk memaklumkan kepada waris jutawan tersebut akan niatnya.

Keesokan harinya dikebumikanlah jenazah jutawan tersebut walaupun mendapat bantahan dari orang-orang yang tahu akan agama. Si tukang kapak tu pun ikut sekali turun ke dalam tanah bersama kapaknya

Setelah tujuh langkah para hadirin meninggalkan tanah perkuburan maka datanglah mungkar dan nangkir ke dalam kubur tersebut.

Si tukang kapak yang tahu sedikit pasal agama menyedari akan siapa yang hadir itu pun menjauhkan diri dari mayat jutawan tersebut. Terfikir di fikirannya bahawa sudah tiba masanya jutawan tersebut akan disoal oleh mungkar dan nangkir.

Tetapi sebaliknya yang berlaku. Mungkar dan nangkir telah menuju ke arahnya dan lalu berkata;

"Apa yang kau buat di sini?"

"Aku menjaga mayat tersebut selama 40 hari untuk mendapat setengah harta wasiatnya"

"Apa harta yang kau ada sekarang?"

"Aku cuma ada sebatang kapak ini sahaja untuk mencari rezeki"

"Dari mana kau dapat kapak ni"

"Aku membelinya"

Lalu hilanglah mungkar dan nangkir di hari pertama di dalam kubur tersebut.

Hari kedua di tanya pula;

"Apa yang kau buat dengan kapak ni?"


"Aku menebang pokok untuk dijadikan kayu api untuk dijual"

Hari ketiga ditanya lagi pasal kapak tersebut;

"Pokok siapa yang kau tebang dengan kapak ni?"

"Kat hutan mana ada orang punya pokok"

"Adakah kau pasti?"

Lalu hilang lagi mungkar dan nangkir. Hari keempat;

"Adakah kau potong pokok tersebut dengan kapak ini ukurannya dan beratnya sama untuk di jual"

"Aku potong cincai-cincai je, mana boleh ukur sama rata"

Lalu hilang dan muncul mungkar dan nankir tersebut selama 39 hari dan soalannya tetap sama berkisarkan kapak tersebut. Dan di hari terakhir ke-40 datanglah mungkar dan nangkir sekali lagi bertemu dengan tukang kapak tersebut.

Berkata mungkar dan nangkir;
"Hari ini hari terakhir aku bersama mu buat seketika tapi aku akan bertanya pasal kapak ini"

Belum sempat mungkar dan nangkir menyoalnya, si tukang kapak tersebut telah melarikan diri ke atas dan membuka pintu kubur tersebut. Lalu diperhatikannya begitu ramai orang sudah menantikan kehadirannya untuk keluar dari kubur tersebut.


Si tukang kapak tersebut dengan tergesa-gesa keluar dan meninggalkan mereka semua dan sambil berkata;
"Ambillah korang semua harta tersebut dan aku tidak menginginkannya lagi!"


Sampai di rumah lalu si isteri berkata;
"Wahai suami ku, di manakah setengah harta peninggalan jutawan tersebut"


Maka jawab si tukang kapak;
"Aku tidak mahukannya lagi. Sedangkan harta aku yang ada kat dunia ini hanya kapak. Tapi apa yang disoal mungkar dan nangkir selama 40 hari semuanya hanya pasal kapak ini. Apa akan jadi sekiranya harta aku begitu banyak. Bagaimana dapat aku menjawabnya?"

Tiada ulasan: