07 Januari 2011

Al-kisah...Tragedi seorang model!

SETIAP tulang yang menonjol pada tubuh kurusnya pernah menjadi tajuk utama serta perdebatan hangat dalam industri fesyen dunia hingga media sering menuding jari menyalahkan industri itu sebagai punca masalah pemakanan tidak seimbang di kalangan peragawati.

Sejak tiga tahun lalu, nama Isabelle Caro mula menjengah industri fesyen Eropah apabila bertindak berani menayangkan tubuh kurusnya bagi poster kempen menentang anoreksia yang dipaparkan secara meluas pada malam sebelum bermulanya Minggu Fesyen Milan di Itali.

Poster itu kemudian diharamkan penyiarannya oleh beberapa syarikat pengiklanan utama Itali. Namun imej menyedihkan itu terus tersebar luas dalam berpuluh laman web lalu mencetuskan perdebatan di kalangan warga industri terbabit dan media Barat susulan kematian mengejut dua model Amerika Latin beberapa bulan sebelum penyiaran poster Isabelle itu.

Isabelle, yang bergelut dengan anoreksia sejak berusia 13 tahun, tetap mempertahankan tindakannya tampil dalam poster itu yang disifatkan sebagai salah satu usaha untuk memberi amaran kepada wanita muda yang bermasalah serupa agar segera mendapatkan bantuan.

Dia mula muncul dalam beberapa sesi program bual bicara di Eropah dan Amerika Syarikat selain mewujudkan laman blog bagi memberi kesedaran mengenai pemakanan seimbang. Pada masa sama, dia menerbitkan buku bertajuk The Little Girl Who Didn’t Want To Get Fat (2008) yang menceritakan bagaimana dia terjebak dalam masalah itu. Isabelle bagaimanapun tewas dalam pertarungannya menentang anoreksia apabila disahkan meninggal dunia pada usia 28 tahun dua bulan lalu. Dia dilaporkan meninggal dunia pada 17 November 2010 selepas kembali ke Perancis dari Tokyo dan kematiannya itu dirahsiakan sehingga minggu lalu.

Punca kematiannya tidak diketahui namun Isabelle sebelum itu dirawat di hospital selama dua minggu susulan masalah pernafasannya. Majlis pengebumiannya juga dilakukan secara tertutup oleh ahli keluarga dan teman rapatnya di Paris.

Teman rapat merangkap jurulatih lakonannya, Daniele Dubreuil-Prevot, berkata model serta pelakon kelahiran Perancis itu sememangnya sudah lama mengalami masalah pemakanan yang tidak seimbang dan sering kesakitan.

Seorang lagi teman baiknya, Vincent Bigler, memberitahu akhbar The Independent bahawa Isabelle berazam membantu wanita yang bergelut dengan masalah pemakanan seperti dirinya.

“Pada luarannya, dia seorang gadis yang terlalu kurus dengan suara yang tidak kedengaran, tetapi dalam dirinya, dia mempunyai azam dan ketahanan diri yang mengagumkan. “Dia sering berusaha mendekatkan diri dengan wanita yang mengalami masalah sepertinya. Dia tidak kisah memberi nombor telefon bimbitnya kepada sesiapa yang ingin mendapatkan bantuannya, malah meletakkan nombor telefon itu dalam laman blognya. “Isabelle sememangnya seorang teman yang disenangi dan berfikiran terbuka,” kata penyanyi dari Switzerland itu. Bigler mula mengenali Isabelle dengan lebih rapat selepas menulis lagu mengenai wanita itu, ‘J'ai fin’, yang diterjemahkan sebagai ‘Saya sudah selesai’ tetapi ramai merasakan bunyinya hampir sama dengan ‘J'ai faim’ yang bermaksud ‘Saya lapar’ dalam bahasa Perancis.

Kempen poster Isabelle berjaya mencetuskan kemarahan beberapa aktivis kemanusiaan yang bimbang imej tulang dan rangka yang dipamerkannya itu mampu membuatkan ramai wanita muda terpengaruh, bukannya mengelakkan perkara itu berlaku.

Menerusi forum Internet thinspiration, minggu lalu, jumlah pengguna yang melayari forum itu makin bertambah dan mereka megah mengagungkan isu anoreksia yang dihadapi kebanyakan model ketika ini.

Tubuh kurus Isabelle dijadikan modal untuk menarik lebih banyak perhatian pada laman blog ini. Salah satu daripadanya memaparkan imej Isabelle yang mengerikan dengan ayat ‘mati muda, kekal menarik’.

Namun sepanjang hayatnya, Isabelle sentiasa menolak kritikan dan tohmahan yang dilemparkan padanya. Malah, dia percaya wanita muda mampu mengelakkan diri daripada terjebak serta tidak mudah terpengaruh dengan poster kempen di media.

“Anoreksia yang saya alami ini boleh menyebabkan kematian. Ia berkaitan dengan semuanya kecuali kecantikan mutlak seorang wanita. “Ia bukanlah seperti yang dilihat dalam foto. Ia pancaran sebenar diri saya yang tiada solekan serta tiada perubahan dilakukan untuk mencantikkan gambar itu. “Mesej yang disampaikan juga amat jelas - saya mengalami psoriasis, berdada leper dan mempunyai jangka hayat tubuh seperti orang tua,” ujar Isabelle ketika ditemu bual lebih tiga tahun lalu.

Jurufoto Itali, Oliviero Toscani, yang merakamkan foto untuk poster iklan kempen kontroversi itu tidak ketinggalan menyifatkan ia satu masalah yang sukar dibendung terutama di kalangan model baru yang berusaha mencipta nama di pentas peragaan dunia.

“Lihat pada iklan yang saya terbitkan, kebanyakan model yang mengalami anoreksia sering mengatakan mereka perlu menghentikan diet yang tidak seimbang. “Foto seperti ini tidak sepatutnya menjadi isu mengejutkan kerana ia adalah realiti yang selama ini berlaku di depan mata kita,” katanya.

Kala fotonya dirakamkan untuk kempen antianoreksia itu, Isabelle hanya seberat 29 kilogram dan baru pulih daripada koma. Ketika ditemu bual penyanyi Amerika Syarikat, Jessica Simpson dalam program The Price of Beauty, dua tahun lalu, Isabelle memberitahu dia berjaya menaikkan berat badan sehingga 39 kilogram.

Dalam program itu, dia turut menceritakan detik awal pembabitannya dalam dunia peragaan selepas tamat sekolah dan berat badannya terus susut sehingga 10 kilogram. “Pihak agensi tidak melarang, malah menggalakkan saya menurunkan lebih banyak berat badan agar mudah mendapat kontrak peragaan. Ia perkara biasa dalam mana-mana agensi,” ujarnya.

Apa yang pasti, kematian Isabelle ini kembali menghangatkan perdebatan dan kecaman terhadap dunia peragaan yang sentiasa mahukan modelnya kekal pada saiz sifar. Isabelle bukanlah model pertama dan mungkin bukan yang terakhir mengalami masalah mental, emosi, fizikal dan kini kematian disebabkan tekanan untuk kekal kurus bagi memenuhi kriteria peragaan bagi pereka antarabangsa.

Sebelum ini, nasib serupa menimpa model dari Uruguay, Luisel Ramos yang meninggal dunia pada 2007 selepas hanya mengamalkan diet salad dan minuman ringan tanpa gula.

Begitu juga model Brazil, Ana Carolina Reston yang meninggal dunia dengan berat hanya 40 kilogram dan ketinggian 173 sentimeter selain Hila Elmalich, model Israel yang meninggal dunia pada 2007 dengan berat kurang 27 kilogram.

Tiada ulasan: