LONDON – Pemerintah Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah sanggup membelanjakan £15,000 (RM86,497) bagi membawa seorang tukang gunting rambut dari sini ke Brunei, lapor akhbar Sunday Times kelmarin.
Baginda menyewa suite peribadi sebuah pesawat bagi membolehkan tukang gunting kegemarannya, Ken Modestou tidak bercampur dengan penumpang lain kerana bimbang dia dijangkiti virus selesema babi.
Sultan Brunei merupakan antara manusia yang terkaya di dunia dengan kekayaan bernilai £12 bilion (RM69.15 bilion) menggunakan khidmat Modestou sejak 16 tahun lalu.
Dia bekerja di sebuah kedai gunting di Hotel Dorchester di Mayfair, tengah London. Pada setiap tiga atau empat minggu, dia diterbangkan ke Brunei dan diberikan penginapan selama beberapa malam selain upah ribuan dolar sebelum balik ke London.
George Kadi yang bertugas dengan Modestou memberitahu: “Dia kerap ke sana. Sultan menerbangkan dia dengan kelas pertama pada kos £9,000 (RM51,873).
“Semuanya ditanggung iaitu hotel dan makanan mewah, asalkan dia mahu pergi ke Brunei.” Caj biasa yang dikenakan untuk menipiskan rambut di kedai Modestou ialah £30 (RM172.87).
Kadi berkata, Sultan Brunei yang berusia 63 tahun itu membayar Modestou melalui sekeping sampul surat yang agak tebal tetapi penuh dengan wang tunai. – Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan